KUANTAN – Tular sebuah klip video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) semalam memaparkan sekumpulan individu dipercayai kanak-kanak mencuri patung mainan di dalam sebuah mesin pencengkam di sebuah pasar raya di sini.
Video bertarikh 5 Februari berdurasi 1 minit 26 saat itu dikongsikan pemilik perniagaan terbabit di laman media sosial dan memperoleh hampir 300 komen daripada warganet dengan lebih 40 ulang siar.
Rata-rata menyelar tindakan sekumpulan kanak-kanak itu, tidak kurang juga yang mengkritik ibu-bapa atau penjaga kerana tidak memantau perbuatan mereka.
Klip video itu memaparkan dua individu dipercayai kanak-kanak yang dilihat berulang kali cuba mencapai patung mainan menerusi slot tingkap di bahagian bawah mesin itu beberapa kali, namun gagal.
Bagaimanapun, salah seorang daripada mereka kemudian bertindak menggoncang mesin tersebut dan berhasil mengeluarkan patung mainan terbabit. – MalaysiaGazette