KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) mengingatkan orang ramai sentiasa berwaspada terhadap pautan serta akaun media sosial palsu yang menyalahgunakan jenama dan gambar Bank Islam bagi tujuan penipuan.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Bank Islam, Mohamed Iran Moriff Mohd Shariff menegaskan semua kempen yang dianjurkan Bank Islam akan, hanya dipromosikan menerusi saluran rasmi Bank Islam.
“Bank Islam sentiasa mengutamakan keselamatan data dan kepentingan pelanggan. Kami tidak akan meminta maklumat peribadi atau sensitif pelanggan seperti nombor akaun, kata laluan, atau kod OTP melalui laman web mahupun akaun media sosial bagi sebarangkempen yang dijalankan.
Malah, promosi-promosi mengenai kempen hanya dilakukan pada laman-laman rasmi Bank Islam sahaja.
“Oleh itu, kami menggesa agar orang ramai agar lebih berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan taktik licik golongan tidak bertanggungjawab. Orang ramai perlu sentiasa memastikan kesahihan maklumat terlebih dahulu sebelum mengambil langkah seterusnya,” tegas beliau.
Bank Islam menambah, semua maklumat rasmi berkaitan kempen, promosi, atau produk perbankan hanya akan disiarkan melalui saluran rasmi berikut:
Laman web rasmi Bank Islam: www.bankislam.com dan media sosial rasmi Bank Islam
adalah:
• Facebook: Bank Islam Malaysia Berhad
• Instagram: bankislam
• X: myBankIslam
• LinkedIn: Bank Islam Malaysia Berhad
Pengguna disarankan melindungi diri mereka daripada menjadi mangsa penipuan dengan berhati-hati pautan yang boleh diklik, sentiasa log masuk ke akaun perbankan anda melalui laman web rasmi Bank Islam, perhatikan dengan teliti pautan laman web sebelum meneruskan aktiviti perbankan
anda dan pastikan imej dan kata keselamatan anda betul sebelum memasukkan kata laluan.
Orang ramai juga diminta tidak berkongsi maklumat peribadi seperti kata laluan atau kod OTP dengan mana-mana pihak, termasuk Bank Islam.
Tambahnya, orang ramai boleh membuat laporan jika ada sebarang aktiviti mencurigakan melibatkan jenama Bank Islam kepada Pusat Khidmat Pelanggan Bank Islam di 03-26 900 900 atau e-mel ke [email protected] untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette