JOHOR BAHRU – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor dan Pemuda Amanah Nasional didakwa gelojoh dan pentingkan diri kerana sering membangkitkan isu pembahagian kerusi untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Ketua UMNO Bahagian Sri Gading, Datuk Mohd Lassim Burhan berkata, setakat ini UMNO Johor sendiri belum pernah melalui perhubungan negeri berbincang tentang pembagian kerusi untuk PRN-16.

“Gambaran yang diberikan seolah-olah UMNO tamak dan PRN akan berlangsung esok hari. Bagi kami, lebih baik AMK dan sekutunya bertanding semua kerusi tanpa memikirkan soal berapakah kerusi yang akan UMNO tandingi pada PRN-16 nanti.

“Seperti mana yang kita semua ketahui UMNO bukanlah komponen gabungan parti politik Pakatan Harapan (PH). UMNO juga boleh bergerak bertanding semua dan UMNO juga boleh memilih kerusi mana yang dirasakan sesuai untuk ditandingi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros menyarankan Barisan Nasional (BN) berganding bahu dengan PH dalam pilihan raya akan datang dan diyakini menang lebih banyak kerusi.

Naib Ketua AMK Johor, Muhammad Faezuddin Mohd Puad bersetuju saranan Noor Azleen itu tetapi mahu kerjasama tersebut dimulakan sekarang ini lagi semasa pentadbiran kerajaan negeri masih berjalan.

Jelas beliau, langkah itu dengan memberi jawatan kepada pemimpin dan wakil PH di peringkat kerajaan negeri serta daerah.

Exco Pemuda Amanah Nasional, Fadhli Umar Aminolhuda pula berkata, langkah berkenaan dilihat dapat mengukuhkan agenda kerjasama antara dua gabungan parti politik berkenaan

Mengulas lanjut, Mohd Lassim berkata, dalam mencapai keharmonian bukan sahaja fokus berpolitik setiap masa perlu diutamakan.

Menurutnya, kerajaan negeri yang diterajui UMNO dan BN begitu komited memajukan Johor.

“Buktinya dengan unjuran hasil dan juga berjaya menarik pelaburan serta penjenamaan model ekonomi baru yang dapat mencipta peluang pekerjaan serta pendapatan rakyat negeri,” ujarnya.

Kemakmuran tersebut juga katanya, disokong dengan kepercayaan dan rasa kasih rakyat kepada pimpinan negeri.

“Akhir kata, buat ‘Mat AMK’ bolehlah bertanding semua 56 kerusi DUN Johor pada PRN-16 nanti, tiada siapa yang sibuk nak halang kamu bertanding,” ujarnya- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here