JOHOR BAHRU – Saranan Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros supaya Barisan Nasional (BN) bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya akan datang wajar dimulakan dengan memberi ruang kepada PH Johor untuk berperanan dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Exco Pemuda Amanah Nasional, Fadhli Umar Aminolhuda berkata, langkah berkenaan dilihat dapat mengukuhkan agenda kerjasama antara dua gabungan parti politik berkenaan.
“Saya ambil maklum dan menyambut baik saranan dan cadangan Ketua Pemuda UMNO Johor yang juga sahabat saya, Azleen Ambros terkait peluang lebih baik untuk menang (pilihan raya akan datang) dengan gabungan PH-BN.
“Sebagai langkah awal dalam mengukuhkan lagi agenda ini, saya cadangkan untuk UMNO-BN Johor mulakan dengan membuka ruang kepada PH Johor untuk berperanan dalam Kerajaan Negeri Johor.
“Walaupun bukan sebagai Exco kerajaan negeri tetapi ketua-ketua komuniti di peringkat akar umbi seperti ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT), ketua kampung dan Jawatankuasa Kemajuan, Keselamatan Kampung (JKKK) patut digerakkan atas nama (kerajaan) Perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau percaya kerjasama berkenaan mampu memperkukuh penyampaian perkhidmatan rakyat dengan kadar yang lebih maksimum melalui kepimpinan kedua-dua gabungan itu.
Jelasnya, ini temasuk memperkukuh kestabilan politik Johor sekali gus membuktikan kepada kepada rakyat bahawa kerajaan Perpaduan bukan sekadar slogan dan laungan tetapi benar-benar berfungsi dengan baik.
“Saya yakin bahawa Johor, mampu menjadi suri tauladan dalam landskap politik negara sekiranya UMNO-BN berbesar hati dan sudi untuk membuka peluang ini,” ujarnya.
Noor Azleen sebelum ini dilaporkan berkata, BN mempunyai peluang lebih baik untuk memenangi kerusi Parlimen Tier 2 pada pilihan raya umum (PRU) akan datang jika berganding bahu dengan PH.
Noor Azleen berkata, pihaknya yakin kerjasama tersebut boleh mencakupi kerusi dalam kategori Tier II.
Kerusi yang telah dan sedia dimenangi BN-PH adalah Tier I, manakala dua gabungan berkenaan kalah dalam kerusi kategori Tier II.
Terdahulu, Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Johor, Muhammad Faezuddin Mohd Puad bersetuju saranan Noor Azleen itu tetapi kerjasama tersebut perlu dimulakan sekarang ini lagi semasa pentadbiran kerajaan negeri masih berjalan.
BN katanya, perlu membuktikan keikhlasan untuk bekerjasama tersebut dengan menjemput pemimpin PH menyertai pentadbiran di pelbagai peringkat negeri, daerah dan komuniti setempat.
“Semangat perpaduan kerajaan negeri sudah pun berlaku di negeri Selangor, Pahang, Pulau Pinang dan Melaka tetapi tidak di Johor,” kata Faezuddin lagi.- MalaysiaGazette