Nahas ngeri yang mengorbankan tujuh individu manakala 33 lagi cedera di KM 204 Lebuhraya PLUS arah utara, Melaka, 23 Disember 2024 lalu berpunca dari tayar sebuah lori yang tercabut dan berada di lorong tengah lebuh raya berkenaan.

MELAKA – Membawa muatan simen melebihi had disyaki menjadi punca kerosakan tayar pada lori yang menyebabkan nahas mengorbankan tujuh individu manakala 33 lagi cedera dalam kemalangan Kilometer 204 Lebuhraya PLUS arah utara di sini, 23 Disember lalu.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, Muhammad Firdaus Shariff berkata, kesalahan itu menyebabkan syarikat lori jenis Foton itu bakal diheret ke Mahkamah Majistret Alor Gajah pada 4 Mac ini.

Muhammad Firdaus Shariff

“Hasil siasatan kita dapati antara sebab utama berlaku kerosakan pada (tayar) kenderaan itu akibat membawa lebih muatan serbuk simen OPC sebanyak 31 peratus atau 16,260 kilogram (16.2 tan) daripada had yang dibenarkan.

“Kita akan tuduh syarikat di bawah Seksyen 57(1)(b)(vi) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 selain kenderaan boleh dilucuthakan di bawah Seksyen 80(4) akta sama,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai Ops Khas Lebih Muatan Sempena Tahun Baharu Cina di Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah- Jasin (AMJ) dekat Peringgit di sini malam tadi.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2024/12/24/tayar-lori-tercabut-punca-nahas-7-maut-di-melaka/

Mengulas lanjut, Muhammad Firdaus berkata syarikat berkenaan akan dituduh kali pertama di Mahkamah Majistret Alor Gajah pada 4 Mac ini di bawah dua seksyen berkenaan.

“Selain itu saman juga telah diserahkan kepada pemilik syarikat pada 7 Februari lalu,” tambahnya lagi.

Lori yang tercabut tayar hingga menyebabkan kemalangan empat kenderaan lain di Kilometer 204 Lebuhraya PLUS arah utara, malam 23 Disember 2024.

Nahas ngeri kira-kira jam 8.45 malam 23 Disember lalu membabitkan sebuah bas persiaran membawa 27 penumpang, lori, treler, kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah Perodua Bezza.

Ketika kejadian lori dan bas berkenaaan dalam perjalanan dari arah utara ke selatan manakala tiga lagi kenderaan lain berada di arah bertentangan.

Sebaik tiba ditempat kejadian, tayar hadapan sebelah kanan lori jenis Foton dipandu lelaki berusia 31 tahun itu dipercayai tercabut dan berada di lorong tengah lebuh raya menyebabkan pemandu bas persiaran melanggarnya sebelum hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

Dua lagi yang maut adalah pemandu bas dan penumpangnya, pemandu pelancong warga Singapura.

Muhammad Firdaus memeriksa dokumen penunggang motosikal dalam operasi malam tadi.

Sementara itu dalam operasi berkenaan, Muhammad Firdaus berkata, sebanyak 267 kenderaan dikesan melakukan 323 kesalahan daripada keseluruhan 2,419 kenderaan yang diperiksa.

“Kesalahan tertinggi adalah lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh sebanyak 94 kes, Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan insurans tamat tempoh (88), kesalahan teknikal (85) dan lain-lain kesalahan.

“Kita turut menahan enam pemandu warga asing (PeWA) terdiri daripada dua warga Indonesia serta masing-masing satu warga Bangladesh dan Rohingya,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here