Gambar hiasan

PUTRAJAYA- Kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) pada tahun 2024 meningkat kepada 70.4 peratus berbanding 70 peratus pada tahun sebelumnya, menurut Statistik Tenaga Buruh, Malaysia, Disember dan Suku Tahun Keempat 2024.

Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata dalam tempoh yang sama kadar pengangguran turun kepada 3.3 peratus pada 2024, berbanding 3.4 peratus yang direkodkan pada tahun sebelumnya.

“Ekonomi Malaysia dilihat kekal pada trajektori pertumbuhan positif pada tahun 2024, didorong oleh prestasi ekonomi yang kukuh meskipun berdepan dengan ketidaktentuan luaran yang berterusan.

“Selaras dengan prestasi tersebut, kedudukan pasaran buruh negara terus menunjukkan momentum pertumbuhan yang baik sepanjang tahun, dipacu oleh pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan,” katanya.

Beliau berkata pasaran buruh Malaysia menunjukkan prestasi yang baik sepanjang tahun lepas, dengan pengangguran kekal rendah manakala guna tenaga menyaksikan peningkatan yang stabil.

Mohd Uzir berkata pasaran buruh negara yang positif pada tahun lepas sebahagiannya disumbangkan oleh permintaan buruh yang berterusan merentasi pelbagai sektor, terutamanya dalam sektor swasta, yang menyaksikan peningkatan dalam peluang pekerjaan.

“Jangkaan bagi tenaga buruh Malaysia pada tahun ini adalah menggalakkan, dengan guna tenaga dilihat terus meningkat secara konsisten, manakala pengangguran dijangka kekal rendah.

“Sektor utama seperti pembuatan terutamanya elektrik dan elektronik, serta sektor perkhidmatan pula akan mendorong kepada pewujudan pekerjaan,” katanya.

Mengulas mengenai prestasi pasaran buruh pada suku keempat 2024, beliau berkata bilangan tenaga buruh menunjukkan trend menaik, peningkatan 0.4 peratus kepada 17.34 juta orang berbanding 17.26 juta orang pada suku sebelumnya.

Mohd Uzir berkata bilangan penduduk bekerja bertambah 0.5 peratus kepada 16.79 juta orang berbanding 16.72 juta pada suku ketiga tahun lepas.

Beliau berkata bilangan penganggur berkurang sebanyak 0.2 peratus kepada 546,900 orang berbanding 547,900 pada suku sebelumnya, dengan kadar pengangguran kekal pada 3.2 peratus berbanding suku tahun ketiga 2024.

Dari segi kadar pengangguran dan KPTB mengikut negeri, Mohd Uzir berkata Selangor dan Kedah merekodkan kadar pengangguran terendah iaitu 1.7 peratus pada suku keempat 2024, diikuti oleh Melaka (1.8 peratus), serta Johor dan Pulau Pinang masing-masing 2.2 peratus.

Sembilan negeri mencatatkan peningkatan dalam KPTB, menunjukkan lebih banyak penyertaan buruh dalam pasaran, dengan Selangor merekodkan KPTB yang tertinggi iaitu pada 76.4 peratus, diikuti oleh Kuala Lumpur (74.9 peratus) dan Pulau Pinang (73.2 peratus).

Sementara itu beliau berkata bagi Disember 2024, bilangan tenaga buruh kekal berada pada trend menaik dengan peningkatan sebanyak 0.1 peratus kepada 17.32 juta orang berbanding 17.29 juta pada November 2024.

Mohd Uzir berkata kadar pengangguran bagi bulan itu pula mencecah kadar terendah sejak 116 bulan iaitu 3.1 peratus dengan 544,300 penganggur direkodkan, berbanding 3.2 peratus pada November 2024, dan kali terakhir kadar pengangguran 3.1 peratus direkodkan adalah pada Mei 2015.

Beliau berkata menjelang penghujung 2024, ekonomi Malaysia menunjukkan daya tahan dan pertumbuhan yang kukuh.

“Oleh itu pasaran buruh juga menunjukkan prestasi yang baik, dengan kadar pengangguran terus menurun pada bulan Disember 2024. Guna tenaga mencatatkan perkembangan yang stabil, dan bilangan penganggur terus berkurang,” katanya.

Mohd Uzir berkata dari segi sektor ekonomi, bilangan penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan meningkat dengan stabil, terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit; kesenian, hiburan dan rekreasi; serta penginapan dan perkhidmatan makanan dan minuman.

“Pada masa yang sama, sektor pembuatan, pembinaan, dan pertanian juga mencatatkan pertumbuhan guna tenaga yang positif, manakala guna tenaga dalam sektor perlombongan dan pengkuarian berkurang pada bulan tersebut,” katanya.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here