MELAKA – Polis Melaka berjaya menumpaskan kegiatan sindiket panggilan penipuan pekerjaan antarabangsa yang beroperasi di sebuah kondominum di Taman Kota Laksamana di sini, Jumaat lalu.
Pemangku Ketua Polis Melaka, Datuk Md Nazri Zawawi berkata, dalam serbuan jam 10 pagi itu, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK)
berjaya menahan sembilan individu termasuk tiga warga China.
“Kesemua mereka yang ditahan berusia antara 26 hingga 43 tahun dipercayai ahli sindiket terbabit.
“Mereka menyasarkan mangsa terdiri daripada rakyat sebuah negara di kepulauan Caribbean dengan menawarkan komisen kerja dalam dolar Amerika Syarikat (ASD),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
![](https://malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2025/01/photo_6107189409397981007_y-1.jpg)
Menurutnya, modus operandi digunakan sindiket ini adalah dengan mengiklankan tawaran pekerjaan palsu kepada mangsa menerusi laman sosial Facebook.
“Mangsa yang berminat kemudian akan berkomunikasi dengan ahli sindiket melalui aplikasi WhatsApp atau Telegram sebelum diarahkan membuat 32 jenis tugasan menerusi laman sesawang https://amcsthatres.com.
“Tugasan itu kononnya untuk menaikkan jumlah maklumbalas (review) terhadap hotel dan filem di negara kepulauan berkenaan,” tambahnya.
Jelas Md Nazri, setelah selesai tugasan pertama, mangsa yang berminat untuk meneruskan tugasan seterusnya diminta membuat transaksi bayaran kepada ahli sindiket ini dan turut dijanjikan dengan komisen antara AS$70 (RM310.79) hingga AS$100 (RM444) bagi setiap tugasan yang berjaya dilakukan.
“Bagaimanapun selepas membuat bayaran, mangsa tidak dibayar komisen seperti dijanjikan dengan sindiket terbabit dipercayai memperolehi keuntungan berjumlah RM54,000 sebulan hasil dari kegiatan berkenaan.
“Dalam serbuan itu polis turut merampas pelbagai jenis barangan dianggarkan berjumlah RM30,000 termasuk sebuah komputer riba, tujuh komputer meja dan 49 unit telefon bimbit pelbagai jenama,” ujarnya lagi.
Katanya, kesemua individu telah ditahan reman selama empat hari sehingga Selasa ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu. – MalaysiaGazette