PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengemaskini modul dan latihan kepada syarikat pengawal keselamatan dan polis bantuan bagi menangani isu keselamatan seperti insiden tembakan terbuka yang berlaku di pusat membeli-belah di Shah Alam.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata modul tersebut akan digerakkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dalam meneliti apa-apa keperluan dalam modul tersebut.
“Golongan ini mempunyai pengetahuan keselamatan yang asas sebab polis yang bagi.
“Cumanya dalam insiden ini ia memberikan kepada kami satu lagi perspektif berbeza di mana sampai masanya untuk modul dan silibus latihan itu kita kemaskini dan tingkatkan keperluan latihan kepada pasukan syarikat keselamatan atau pun polis bantuan.
“Hal ini saya akan minta Ketua Polis dan Timbalannya untuk teliti bertujuan untuk memastikan bahawa kita ambil tahu isu keresahan rakyat ini,” katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya, hari ini.
Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata insiden yang berlaku dalam kompleks membeli-belah itu tidak memberikan gambaran bahawa ia adalah satu ancaman kepada keselamatan negara.
“Kita beri jaminan keselamatan negara terus terkawal sebab itu keutamaan kita. Kedua tahap kopitensi polis sebagai penguatkuasa terbesar dalam negara,” katanya lagi.
Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata seorang lelaki warga tempatan yang memiliki 11 rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah kini diburu polis dalam kejadian tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam, pada Sabtu.
Suspek berusia lingkungan 30-an dan berkulit cerah melepaskan beberapa das tembakan terhadap seorang pekerja pembersihan sebelum melarikan diri.
Siasatan mendapati mangsa tidak mengenali suspek, dan identiti penjenayah itu berjaya dikenal pasti dengan cepat hasil risikan polis serta rakaman CCTV di lokasi kejadian.
Dalam kejadian sekitar pukul 10.50 malam mangsa sedang menyimpan peralatan mencuci di aras P1 sebelum tiba-tiba ditembak empat das, mengenai kaki dan punggungnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, yang memperuntukkan hukuman mati, serta Seksyen 307 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette