JOHOR BAHRU – Tahap kesedaran dan pematuhan peraturan keselamatan jalan raya di Johor khususnya dalam kalangan pemilik kenderaan persendirian masih berada pada skala rendah.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Johor, Azmil Zainal Adnan berkata, usaha meminimumkan nahas jalan raya menerusi Ops Khas Tahun Baru Cina 2025 tidak mencapai matlamat yang diharapkan kerana jumlah nahas dan kadar kematian masih tinggi.
Katanya, dapatan statistik daripada operasi yang dijalankan bermula 20 Januari hingga 9 Februari itu mendapati masih ada pengguna jalan raya yang mementingkan diri sendiri sehingga membahayakan keselamatan orang lain.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan semasa operasi khas itu, sejumlah 12,931 notis JPJ dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya.
“Melalui analisis data-data Ops Khas ini, JPJ Negeri Johor mendapati tahap kesedaran kepada pematuhan peraturan keselamatan jalan raya khususnya kenderaan persendirian masih berada pada skala rendah.
“Ini dapat diperhatikan di mana sejumlah 2,696 atau 21 peratus kegagalan memiliki Lesen Memandu Malaysia (LMM), 2,215 (17 peratus) gagal memperbaharui/tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM) serta 1,971 (15 peratus) tiada perlindungan insurans,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu katanya, sejumlah 523 (4 peratus) pemandu dengan sikap memandu secara tidak selamat dan berisiko tinggi iaitu pelanggaran sembilan kesalahan utama yang menjadi punca kepada kemalangan maut.
JPJ Negeri Johor juga ujarnya, mengesan dan mengambil tindakan sitaan sebanyak 159 buah kenderaan atas kesalahan tidak selamat/tidak layak berada di jalan raya.
Begitu juga kata Azmil, sejumlah 523 (4 peratus) pemandu dengan sikap memandu secara tidak selamat dan berisiko tinggi iaitu pelanggaran sembilan kesalahan utama yang menjadi punca kepada kemalangan maut.
“Kesalahan itu melibatkan memotong sebelah kiri (25), memotong di garisan berkembar (8), tidak patuhi lampu isyarat merah (20), menggunakan lorong kecemasan (72), menggunakan telefon bimbit (22), tidak pakai topi keledar (142), tidak pakai tali pinggang keledar (228), memandu di lorong kanan secara berterusan (6) dan lain-lain kesalahan (710).
JPJ Negeri Johor juga katanya, mengesan dan mengambil tindakan sitaan sebanyak 159 buah kenderaan atas kesalahan tidak selamat/tidak layak berada di jalan raya.
Kenderaan disita itu melibatkan motosikal (59), kereta (21) dan kenderaan lain (18).
“JPJ Negeri Johor memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan pihak syarikat, pemilik dan mana-mana pemandu yang masih tegar melanggar undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.
“Penguatkuasaan dan tindakan tegas akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan ekosistem pembudayaan keselamatan jalan raya yang lebih selamat kepada semua pengguna,” tambahnya.
JPJ Negeri Johor katanya, menyeru dan memohon kerjasama kepada pengguna jalan raya dan orang awam mematuhi peraturan dan bertoleransi dengan pengguna lain demi keselamatan diri dan keluarga.
Aduan boleh dibuat secara terus atau real time dengan menggunakan Aplikasi MyJPJ: e-Aduan@JPJ atau emel [email protected] beserta dengan butiran lengkap aduan.- MalaysiaGazette