KUALA LUMPUR – Gerakan Pembela Ummah (Ummah) membantah tindakan Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan Notis Usul bagi mendapatkan Kebenaran untuk Merayu di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan berhubung titah adendum.
Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata, langkah tersebut dilihat ingin menafikan kewujudan dan kesahihan titah yang telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan dibuktikan di mahkamah.
Dalam masa yang sama, beliau turut menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap tindakan kerajaan yang memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan perintah larangan bersuara (gag order) bagi menghalang perbincangan terhadap permohonan semakan bekas Datuk Seri Najib Tun Razak berkenaan isu tersebut.
“Pemfailan Gag Order ini tidak memberikan peluang sama ada pemimpin-pemimpin masyarakat dan NGO dan rakyat untuk membicarakan perihal ini.
“Berkenaan rayuan pula (oleh AGC), kita tidak bersetuju kerana implikasi rayuan ini akan (menjejaskan) fakta utama Mahkamah Rayuan yang telah mengesahkan kewujudan dan kesahihan titah adendum,” katanya ketika sidang media.
Jelasnya, kerajaan sepatutnya memperakui titah berkenaan susulan daripada pendedahan kewujudannya di mahkamah baru-baru ini.
“Titah ini sepatutnya tidak boleh dicabar di peringkat mahkamah,”tambahnya.
Demi bersolidariti dengan Agong terdahulu yang kini merupakan Sultan Pahang, NGO Islam itu bakal mengadakan Himpunan Perdana di Pahang dalam masa terdekat.
Katanya, perincian berkenaan himpunan akan dimaklumkan kemudian.
Sebagai rekod, AGC baru-baru ini dilaporkan memfailkan Notis Usul mendapatkan Kebenaran untuk Merayu di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan berhubung titah addendum.
Tegasnya, keputusan memfailkan usul itu adalah berasaskan beberapa premis penting seperti pencanggahan dalam tafsiran undang-undang antara keputusan Mahkamah Tinggi dan penghakiman majoriti dan minoriti di Mahkamah Rayuan.
Jelas AGC, perkara itu menimbulkan keperluan untuk mendapatkan kepastian dan undang-undang yang jelas daripada Mahkamah Persekutuan.
Selain itu, AGC berpendapat rayuan kepada Mahkamah Persekutuan itu perlu demi kepentingan isu undang-undang di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, isu yang dibangkitkan melibatkan persoalan undang-undang signifikan serta mempunyai kepentingan awam yang wajar dibicarakan dan diputuskan oleh mahlamah tertinggi negara.
Dalam masa yang sama, media melaporkan kerajaan akan memfailkan permohonan untuk mahkamah mengeluarkan gag order bagi melarang mana-mana pihak membincangkan isu berkaitan kes titah itu yang mula disebut di Mahkamah Tinggi.
Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan dipetk sebagai berkata pihaknya akan memfailkan perkara itu pada 20 Januari ini atas alasan untuk melindungi Institusi Diraja kerana perkara itu menyentuh isu sensitif iaitu raja, agama dan kaum (3R). – MalaysiaGazette