KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor menyelar Pas Selangor yang disifatkan biadab terhadap Sultan Sharafuddin Idris Shah selepas didakwa enggan akur terhadap titah baginda dalam isu garis panduan umat Islam menghadiri majlis perayaan bukan Islam.
Pengarah Komunikasi AMK Selangor, Dr. Mohd. Fauzi Fadzil mendakwa, Ketua Penerangan Pas Selangor, Zurk Ahmad sebelum ini menyatakan garis panduan tersebut penting bagi megelak salah faham dan polemik tidak perlu yang sering serta banyak ditimbulkan oleh DAP ke atas agama Islam.
Sedangkan, ujar beliau, Sultan Selangor telah bertitah tidak bersetuju dengan cadangan garis panduan tersebut khususnya di Selangor kerana dibuat pada waktu yang tidak sesuai di mana rakyat sedang giat mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama.
ARTIKEL BERKAITAN
Sehingga kini, tambahnya, tiada kenyataan terbuka yang dibuat oleh Pas Selangor untuk menarik semula kenyataan awal berhubung garis panduan tersebut.
“Malah tiada langsung kenyataan oleh Pas Selangor untuk menjunjung saranan Sultan Sharafuddin (Idris Shah) selaku Ketua Agama Islam di Negeri Selangor.
“Pas Selangor sehingga kini masih kekal dengan sikap menyokong pembentukan garis panduan tersebut walaupun secara jelas is bertentangan dengan kehendak Ketua Agama Islam Selangor.
“Tiada istilah paling tepat dapat digambarkan terhadap perbuatan biadab Pas Selangor itu selain derhaka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Mohd. Fauzi, titah Sultan Selangor itu dijunjung tinggi oleh keseluruhan pimpinan Kerajaan Madani melalui kenyataan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan tiada keperluan untuk mewujudkan garis panduan tersebut kerana umat Islam hanya perlu menjaga akidah dan mematuhi peraturan agama yang sudah ditetapkan.
Ujarnya, kenyataan Anwar itu menggambarkan sikap seluruh pendokong Kerajaan Madani yang sentiasa taat dan setia terhadap titah Ketua Agama Islam Selangor demi memastikan ketinggian agama Islam sentiasa terpelihara daripada dipandang jumut dan sempit oleh penganut agama lain.
Kata beliau, Pas Selangor seharusnya bermuhasabah dan mengambil iktibar daripada titah Sultan Selangor yang mahukan rakyat terus giat mengeratkan amalan muhibah demi mengukuhkan perpaduan nasional.
“Pas Selangor juga tidak perlu mempolitikkan isu tersebut dengan mengheret DAP untuk menakut-nakutkan umat Islam, isu ini adalah isu nasional yang tidak terkait dengan sentimen politik.
“Justeru Pas Selangor perlu berhenti bermain api perkauman dan agama seperti yang dititahkan oleh Sultan Sharafuddin (Idris Shah),” katanya. – MalaysiaGazette