KUALA LUMPUR – Pilihan raya bukan satu-satunya jalan untuk menukar Perdana Menteri, kata Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali.
Jelas beliau, mengikut Perlembagaan Persekutuan, Perdana Menteri berisiko hilang jawatan tersebut sekiranya tidak lagi mendapat kepercayaan atau keyakinan dalam kalangan majoriti ahli Parlimen.
“Selalunya, di kaca mata rakyat Perdana Menteri hanya boleh dipilih melalui pilihan raya. Pemahaman tersebut salah walaupun ia adalah salah satu cara (untuk menukar Perdana Menteri.
“Satu lagi cara adalah apabila Perdana Menteri itu hilang keyakinan. Perdana Menteri yang hilang majoriti mestilah meletakkan jawatan termasuk jugalah Jemaah Menteri.
“Pembubaran Parlimen berlaku dengan kebenaran serta budi bicara Yang di-Pertuan Agong tanpa perlu mengikut nasihat,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam di ibu kota, hari ini.
“Jadi kepada sesiapa di luar sana yang kata tidak usah tukar kerajaan kerana ekonomi semakin baik, kerana hutang menguncup, ini semua adalah pemahaman-pemahaman yang salah dari segi undang-undang.
“Rakyat kena faham penukaran Perdana Menteri boleh dilakukan dengan cara menurut Perlembagaan Persekutuan.
“Adalah amat salah mana-mana individu menyatakan sebaik sahaja Perdana Menteri angkat sumpah, dia hanya perlu buat satu usul percaya atau tidak percaya dan sebaik sahaja memenangi usul itu (beliau) tidak boleh diturunkan melainkan (menerusi) pilihan raya,” tambah Rafique yang juga merupakan seorang peguam.
Jelas beliau lagi, seorang Perdana Menteri wajib mempertahankan keyakinan terhadap dirinya dari hari pertama angkat sumpah sehingga hari terakhir sebelum lepaskan jawatan.
“Inilah yang kita nak rakyat faham, dalam Perkara 43 jelas menyatakan (perkara yang saya sebut tadi), (maka) tolong baca Perlembagaan Persekutuan,” ujar beliau.
Terdahulu, Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan berkata, parti tersebut sedang bersiap sedia menghadapi pilihan raya mengejut pada hujung tahun ini.
Katanya, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meminta semua jentera parti mula digerakkan sekarang.-MalaysiaGazette