KLUANG – Seorang wanita hamil dan bayi dalam kandungan maut semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) semalam, selepas kereta dipandunya melanggar tembok pagar rumah di Kampung Melayu di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya menerima laporan kejadian berkenaan pada pukul 4.11 petang semalam daripada adik mangsa, Ammar Harun, 30.
Beliau memberitahu, kejadian itu berlaku pada pukul 2.15 petang di Lorong Mohd Salim 1, kampung berkenaan semasa wanita berkenaan melibatkan Siti Aisyah Harun, 32, bersama-sama rakannya, Siti Aishah Rahimi, 28, menaiki kereta Produa Myvi itu.
![](https://malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2025/02/gambar-mangsa.jpg)
“Siasatan mendapati wanita berkenaan dalam perjalanan dari Kampung Melayu menghala ke bandar Kluang. Kereta wanita berkenaan hilang kawalan lalu melanggar tembok pagar sebuah rumah tersebut.
“Pemandu kereta berkenaan mengalami kecederaan dalaman di bahagian perut dan dada manakala rakannya cedera ringan di lengan kiri serta dahi kanan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa kemudian dikejarkan ke HEBHK untuk menerima rawatan.
Menurutnya, semasa menerima rawatan bayi dalam kandungan wanita tersebut meninggal dunia dan dikeluarkan oleh doktor melalui pembedahan pada pukul 8 malam kelmarin.
“Kemudian wanita hamil tersebut yang sedang menerima rawatan meninggal dunia di hospital akibat pendarahan dalaman pada bahagian abdominal dan kecederaan pancreas pada pukul 2 petang semalam,” ujarnya.
Rakan mangsa katanya menerima rawatan sebagai pesakit luar dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- MalaysiaGazette