KEDUDUKAN Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2024.

KUALA LUMPUR – Malaysia mengekalkan kedudukan ke-57 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2024 dengan skor 50 mata berdasarkan laporan Transparency International Malaysia (TI-M) yang dikeluarkan hari ini.

Kedudukan itu tidak berubah berbanding tahun sebelumnya yang mana berbanding negara-negara Asean pula, Malaysia berada di tempat kedua selepas Singapura (84 mata) dan di tangga ketiga daripada 180 negara.

Presiden TI-M, Dr. Muhammad Mohan berkata, meskipun tidak mengalami kemerosotan berbanding tahun sebelumnya namun kedudukan CPI 2024 Malaysia itu tidak menunjukkan peningkatan mungkin dipengaruhi oleh beberapa faktor.

Presiden TI-M, Dr Muhammad Mohan.

Antaranya termasuklah semakan semula hukuman penjara dan pengurangan denda selepas disabitkan oleh mahkamah tertinggi ke atas kes berprofil tinggi yang mungkin mewujudkan persepsi unsur campur tangan politik dalam badan kehakiman.

“Bilangan kes-kes DNAA (dilepas tanpa dibebaskan) yang tinggi diberikan untuk kes berprofil tinggi juga mewujudkan persepsi bahawa terdapat unsur campur tangan politik dalam badan kehakiman.

“Selain itu, walaupun pihak SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah) telah membuat tangkapan, masih terdapat kes-kes salah guna kuasa dan rasuah yang berterusan oleh penjawat awam.

“Laporan buruk yang berterusan dalam laporan Ketua Audit Negara mengenai kesalahan dan tatakelola yang lemah oleh pegawai kerajaan juga tidak diberikan hukuman yang sewajarnya,” katanya dalam kenyataan seperti dilaporkan beberapa media hari ini.

Tambah Muhammad, walaupun Kerajaan Madani telah memberikan penekanan terhadap tatakelola yang baik dan pembaharuan institusi, usaha-usaha pembaharuan institusi masih bergerak dengan perlahan.

Katanya, sektor perniagaan juga masih melihat rasuah sebagai isu utama dengan budaya ‘duit kopi’ yang masih berleluasa dan perlu dibendung dalam sektor awam.

Ujar beliau, walaupun Malaysia berada di kedudukan yang kekal dan memperoleh skor yang sama, namun kerajaan perlu menyedari bahawa negara mempunyai visi untuk mencapai kedudukan di antara 25 buah negara teratas di dunia menjelang tahun 2033.

“Malaysia hendaklah memperoleh skor sebanyak 68-70 mata untuk mencapai kedudukan tersebut.

“Oleh itu, Malaysia perlu meningkatkan skor sekurang-kurangnya dua mata setiap tahun sehingga 2033 demi mencapai sasaran yang ditetapkan,” jelas beliau.

Sehubungan itu, Muhammad menggesa supaya proses pembaharuan institusi dipercepatkan untuk memastikan wujudnya ketelusan, akauntabiliti dan memastikan tiada unsur campur tangan politik dengan badan penguatkuasa seperti SPRM dan badan kehakiman.

Dalam masa sama, katanya, TI-M mengulangi kerajaan hendaklah mempertimbangkan dan memberi penekanan untuk menambah baik Integrity Pact selari dengan piawaian antarabangsa dengan mewujudkan pengawasan bebas untuk projek mega bagi memastikan wang pembayar cukai dibelanjakan dengan telus.

“Kerajaan hendaklah memanfaatkan perkembangan teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI), blockchain dan big data untuk mengurangkan risiko birokrasi dan meningkatkan penyampaian perkhidmatan dalam sektor awam yang akan memberi kesan kepada usaha membanteras rasuah,” katanya.

Keputusan CPI 2024 dilancarkan gabungan antirasuah global TI merupakan hasil sembilan tinjauan yang berbeza berdasarkan penilaian pakar perniagaan dan negara.

Penilaian itu mengukur persepsi tahap rasuah dalam sektor awam di 180 buah negara dan wilayah di seluruh dunia.

Keputusan 2024 juga menyaksikan tiga buah ‘negara bersih dari ancaman rasuah’ dan berjaya menduduki tiga tangga teratas dalam indeks tersebut iaitu Denmark dengan skor 90 mata; Finland (88 mata) dan Singapura (84 mata).

Sementara itu, tiga negara yang berada di kedudukan tercorot dalam indeks tersebut merupakan Venezuela, Sudan Selatan dan Somalia dengan masing-masing memperoleh skor sebanyak 10; sembilan dan lapan mata. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here