KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (Mara) telah memohon supaya Universiti Al-Azhar di Mesir memberi diskaun yuran bagi pelajar tajaannya dalam bidang perubatan, farmasi dan pergigian.
Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki berkata, permohonan itu dikemukakan semasa bertemu dengan Prof. Dr Salamah Abu Daud, Presiden Universiti Al- Azhar dan pengurusan utama universiti berprestij itu.
“Kami juga telah mengemukakan permohonan agar pihak universiti dapat mempertimbangkan diskaun yuran khusus bagi pelajar tajaan Mara supaya lebih ramai anak Melayu Bumiputera berpeluang menuntut ilmu di bumi anbiya ini dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi,” kongsi Asyraf dalam hantarannya di Facebook.
Asyraf ke universiti tersebut bagi memperkukuhkan hubungan dan kerjasama untuk pelajar Malaysia tajaan Mara.
“Mara sentiasa komited dalam memastikan akses pendidikan berkualiti di peringkat antarabangsa dapat dinikmati oleh pelajar Malaysia, khususnya mereka yang berpotensi tinggi tetapi memerlukan sokongan kewangan untuk merealisasikan impian mereka.
“Semoga usaha ini membuahkan hasil yang baik demi membina generasi profesional negara berjiwa Ulul-Albabpada masa hadapan,” ujarnya. – MalaysiaGazette