Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching ketika menyertai sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves malam tadi. - Foto: FB Teo Nie Ching

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama penyedia perkhidmatan utama telah menjalankan penilaian rangkaian menyeluruh di Batu Caves dekat sini sejak 5 Februari lalu.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, perkara itu bagi memastikan sambutan Thaipusam tahun ini berjalan lancar tanpa sebarang isu rangkaian.

Jelas beliau, dengan jangkaan lebih 1.8 juta pengunjung ke Batu Caves termasuk pelancong dari luar negara sempena Thaipusam tahun ini, kesalinghubungan yang stabil adalah amat penting.

Ia ujar beliau, bagi membolehkan semua pihak kekal berhubung sama ada untuk berkomunikasi dengan keluarga, berkongsi pengalaman dan bagi memastikan akses kepada maklumat penting sepanjang acara berlangsung.

Tambahnya, MCMC telah mengambil langkah proaktif dengan mengarahkan penyedia perkhidmatan untuk memastikan perkhidmatan telekomunikasi berjalan lancar antaranya memantau trafik rangkaian sepanjang tempoh sambutan bagi mengelakkan kesesakan capaian.

Langkah lain, jelasnya, dengan meningkatkan kapasiti rangkaian untuk menampung jumlah pengguna yang tinggi serta menempatkan tujuh Stesen Pangkalan Mudah Alih (PBTS) dan dua Kenderaan Komunikasi Mudah Alih (MCV) di lokasi strategik sekitar Batu Caves.

“Langkah-langkah ini adalah bukti komitmen kerajaan Madani dalam memastikan rakyat mendapat kemudahan komunikasi yang terbaik.

“Dengan usaha ini, saya yakin Thaipusam tahun ini bukan sahaja meriah dengan kehadiran jutaan penganut Hindu dan pelawat, tetapi juga lancar dari segi kesalinghubungan talian,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sementara itu, Nie Ching berkata, buat julung kalinya juga, beliau berpeluang menyaksikan sendiri kemeriahan sambutan Thaipusam 2025 di Batu Caves malam tadi.

“Lebih istimewa, saya turut melawat ke tapak Stesen Pangkalan Mudah Alih (PBTS) yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di perkarangan Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves, Selangor,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here