Aznan membantu seorang remaja mencuba pakaian sekolah dalam Program Bantuan Kasih Murid Johor di AEON Mall Tebrau, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Lebih 900 calon tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di negeri ini yang berakhir pada minggu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, antara puncanya pelajar beranggapan masih boleh mendapat kerja di Singapura dengan gaji besar kerana kadar mata wang yang tinggi tanpa menggunakan kelayakan SPM.

Beliau menjelaskan, faktor berkenaan menjadi kebimbangan kerajaan negeri dan masalah keciciran pelajaran akan terus berlarutan.

“Ibu bapa memainkan peranan yang penting untuk memastikan anak mereka menghabiskan pelajaran dengan memiliki SPM. Dianggarkan 900 pelajar yang tidak menduduki peperiksaan SPM tahun ini, walaupun jumlah itu menurun berbanding tahun lalu, ia masih membincangkan.

“Cuma cabaran kita ini, Singapura tak pakai SPM (sebagai kelayakan) untuk ambil pelajar-pelajar kita bekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Bantuan Kasih Murid Johor di AEON Mall Tebrau di sini hari ini.

Justeru, menurut Aznan,pihak sekolah kena sentiasa mengadakan sesi libat urus kepada ibu bapa dan pelajar-pelajar supaya mereka diberi penekanan bahawa SPM itu penting yang menjadi penentu masa depan mereka.

Bulan lalu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilaporkan berkata, sekitar 10,000 pelajar tidak hadir untuk peperiksaan SPM.

Aznan berkata, penubuhan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) dilihat mampu menjadi penyelamat untuk memastikan pelajar-pelajar yang keciciran ini menyambung pelajaran dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Sebab itu JTDC adalah platform untuk membantu anak-anak ini. Walaupun tak habis belajar, kita boleh hantar untuk menceburi bidang TVET dan kita ambil mereka bekerja dalam Johor.

“Jadi, tak ambil SPM bukan berakhirnya masa depan mereka, kita akan bantu masukkan mereka ke program-program TVET supaya mereka ini ada peluang dan ruang untuk terus ke hadapan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here