KOTA KINABALU – Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa Non Residen (JAKMAS NR) Universiti Malaysia Sabah (UMS) ntelah mengadakan program khidmat
masyarakat di Pusat Rumah Anak Yatim, Baitul Amin, Pitas baru-baru ini.
Program ini sebagai usaha berterusan dalam menyemai dan memperkukuh semangat kesukarelawan dalam kalangan pelajar universiti.
Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu turut mendapat kerjasama daripada Pusat Pengurusan Non Residen dan Fasiliti Perumahan Pelajar (PNRF).
Menurut Pengarah PNRF, Stella @ Nurul Martini Gontol, program murni tersebut menyokong amanat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) iaitu pemerkasaan pelajar melalui program-program pembangunan sahsiah seumpama itu.
“Ini juga menyahut seruan salah satu program utama di bawah KPT iaitu Semarak Siswa Madani atau juga dikenali sebagai S4S (Student for Society).
“Program ini menambah pengetahuan dan pengalaman pelajar dalam berinteraksi dengan masyarakat di samping itu, dapat menekankan kepentingan ilmu pengetahuan dan pendidikan melalui pelbagai medium dalam kehidupan dan memberi pengalaman berkualiti kepada pelajar,” katanya.
‘Bertemakan ‘Kami Peduli, Kami Sayangi’, program yang melibatkan kumpulan pelajar non residen itu diketuai Pengarah Program, Nabila Noridayu Jaryed.
Kehadiran 17 pelajar NR di Rumah Anak Yatim Baitul Hidayah disambut mesra oleh pengurusan dan 25 penghuni rumah anak yatim serta dibantu oleh para warden.
Arnidah Abd Sari, Setiausaha Rumah Anak Yatim merakamkan penghargaan kepada UMS khususnya PNRF atas usaha melaksanakan aktiviti kemasyarakatan di rumah tersebut.
Menurutnya, kehadiran kumpulan pelajar UMS amat bermakna kerana dapat memberikan sedikit motivasi dan galakan untuk anak-anak di rumah tersebut untuk terus belajar bersungguh-sungguh hingga ke menara gading.
Dia berharap program sedemikian dapat diteruskan lagi pada masa akan
datang. – MalaysiaGazette