KLUANG – Sepasang suami isteri berdepan detik cemas selepas tiga lelaki datang di depan rumah dan melepaskan enam das tembakan sebelum melarikan diri dalam kejadian di Kampung Bukit Batu Machap, Simpang Renggam di sini semalam
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian tersebut berlaku pada pukul 12.17 tengah hari semasa salah seorang mangsa iaitu wanita terbabit yang berusia berusia 36 tahun sedang berada depan rumah.
“Semasa wanita berkenaan berada di rumah, dia ternampak sebuah kereta jenis Perodua Bezza Maroon masuk ke halaman rumahnya.
“Semasa kejadian, mangsa dan suami sedang berdiri di hadapan pintu rumah didatangi tiga lelaki. Salah seorang suspek telah mengeluarkan pistol dari pinggang kemudian acukan kepada kedua-dua mangsa dan suspek berkenaan melepaskan empat das tembakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata Bahrin, mereka kemudian melarikan diri dan melepaskan dua lagi das tembakan.
Bagaimanapun tiada sebarang kecederaan kepada mangsa dan semua tembakan dilepaskan ke bawah itu terkena bahagian bingkai pintu hadapan rumah dan meja di ruang garaj hadapan rumah.
Wanita terbabit kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.
Bahrin berkata, pihaknya kemudian menahan seorang suspek iaitu lelaki tempatan berusia 32 tahun dikenali sebagai Man Tiger.
Suspek berkenaan, katanya, ditahan di tepi Jalan Setia 1, Pusat Setia Perdagangan, Simpang Renggam, pukul 7 malam semalam.
Menurutnya, suspek merupakan seorang penganggur yang mempunyai 27 rekod lampau iaitu 18 kes jenayah dan sembilan kes dadah.
“Ujian air kencing mendapati suspek juga positif dadah jenis methamphetamine. Dianggarkan tujuh lagi suspek yang masih bebas,” ujarnya.
Beliau memberitahu, suspek berkenaan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Pahat pada pukul 2.30 petang ini untuk mendapat kebenaran perintah tahanan reman.
Motif kejadian masih dalam siasatan termasuk sama ada kaitan dengan kes ahlong.
Kes disiasat bawah Seksyen 3 Akta Senjatapi 1971 (Penalti Lebih Berat) dan 3.2. Seksyen 307 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette
Gila apakah ini, hari-hari ada kes tembakan,sudah menjadi negara koboi ke Malaysia?