JOHOR BAHRU – Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh ibu mentuanya di sebuah rumah di Taman Sri Skudai di sini awal bulan ini.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Zuraidi Zakaria, 51, kerana kes bunuh berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Zuraidi didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian Epah Daik,79, di sebuah rumah di Jalan Tembaga Merah, Taman Sri Skudai di sini pukul 4.20 petang pada 5 Februari lalu.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dihukum gantung hendaklah juga dikenakan hukuman 12 kali sebatan sekiranya didapati bersalah.

Majistret Atifah Hazimah Wahab kemudian menetapkan 28 April depan menunggu laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nik Noratini Nik Azman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, media melaporkan polis menahan seorang lelaki dan wanita bagi membantu siasatan susulan kematian seorang warga emas yang ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebuah rumah di Taman Sri Skudai.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh dilaporkan berkata, tangkapan dua warga tempatan itu dibuat selepas polis mengesyaki terdapat unsur jenayah terhadap kematian warga emas yang juga wanita berusia 79 tahun itu.

Beliau berkata, wanita itu ditemui pada pukul 7.08 malam dalam terbaring di ruang tamu dan bertutup dengan kain batik. – MalaysiaGazette

Dua waris ditahan, warga emas mati dibunuh dalam rumah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here