PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan memfailkan tindakan hina mahkamah terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Terrirudin Ahmad berkaitan isu titah adendum yang didakwa telah dihantar ke pejabatnya ketika menjawat jawatan itu.
Ahmad Terrirudin kini menjawat jawatan Hakim Mahkamah Persekutuan.
Hari ini, peguam utama mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, pihaknya akan memfailkan permohonan hina mahkamah itu selewat-lewatnya Jumaat ini.
“Kita sudah dapat arahan daripada Datuk Seri Najib supaya satu tindakan penghinaan mahkamah diambil terhadap bekas Peguam Negara, Ahmad Terrirudin). Dokumen berkaitan permohonan ini sudah siap cuma perlu masa untuk kami teliti sebelum fail sebelum Jumaat ini.
“Tindakan ini juga kita ambil berdasarkan kenyataan Perdana Menteri sebelum ini bahawa titah adendum telah diterima Pejabat Peguam Negara ketika itu. Bekas AG kemudian serah titah tersebut kepada Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) kini.
“Pada pendapat kita, tindakan itu salah kerana titah adendum itu sudah menjadi satu dekri oleh YDPA. Tindakan yang sepatutnya dilakukan adalah melaksanakan apa yang ada dalam adendum itu dan bukan serah kepada YDPA kini kerana baginda tidak boleh bertindak sebagai pelaksana adendum itu,” katanya pada sidang media hari ini.
Sambung Muhammad Shafee lagi, Ahmad Terrirudin juga tidak bersikap jujur, telus dan bertanggungjawab kerana apabila prosiding kes berkaitan titah adendum di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh, perkara itu tidak disebut langsung sehingga adendum menjadi ‘hear say’ (dengar cakap)
“Malah cabar kita untuk buktikan titah adendum itu benar-benar wujud dan bukannya sekadar dengar cakap sahaja.
“Bayangkan, jika beliau memiliki titah tersebut dan melihatnya, tidak arah pegawainya bantah atas alasan tidak ada bukti kewujudan adendum itu. Ini bukan soal litigasi biasa sebaliknya kita sedang cakap tentang seorang mantan Peguam Negara yang sepatutnya menjadi sumber keadilan buat kita semua,” tegasnya.
Sebelum ini, Muhammad Shafee pernah membacakan sebahagian daripada titah adendum pada prosiding rayuan Najib di Mahkamah Rayuan sebelum ini.
Isi surat itu antaranya menyebut:
“Mudah-mudahan barang diwasalkan oleh Tuhan Seru Sekalian Alam ke Majlis Yang Berbahagia Datuk Ahmad Terrirudin bin Mohd Salleh, Peguam Negara Malaysia yang berada pada masa ini di Pejabat Peguam Negara, Putrajaya dengan beberapa selamat dan sejahteranya.
“Wabadah Ehwal, Beta dengan ini menitahkan sebagai tambahan kepada keputusan Beta berhubung Banduan, Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak pada Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah- Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan dan Putrajaya kali ke-61 pada hari Isnin, 29 Januari 2024 bersamaan 17 Rejab 1445 Hijrah supaya Banduan, Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak menjalani baki hukuman menerusi penahanan dalam rumah (House Arrest).”
Mahkamah Rayuan sebelum ini memberi kebenaran kepada Najib untuk mencabar kewujudan Titah tersebut.
Pada 1 April 2024, Najib memfailkan semakan kehakiman antara lain mendakwa selain perintah pengurangan hukuman penjara dan pengurangan jumlah denda, terdapat perintah tambahan yang membenarkan beliau untuk menjalani hukuman yang dikurangkan kepada ‘tahanan di rumah’ dan bukannya di Penjara Kajang. – MalaysiaGazette