Coswald (empat dari kiri) dan Jamali bertukar dokumen MoU yang berlangsung di Bangunan Canselori UMS

KOTA KINABALU – UMS-PMWP meterai MoU bangunkan penerbitan ilmiah, ekonomi Islam Kota Kinabalu – Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Pejabat Mufti Wilayah
Persekutuan (PMWP) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai langkah penting memperkukuh kerjasama akademik dan penyelidikan kedua-dua
pihak.

Kerjasama MoU berkenaan antaranya merangkumi penyelidikan akademik dan penerbitan ilmiah berkaitan isu-isu agama, ekonomi islam, dan pembangunan masyarakat.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, kolaborasi tersebut merupakan sebahagian daripada usaha UMS memperkukuh hubungan
dengan institusi-institusi penting dalam negara bagi meningkatkan kualiti pendidikan dan penyelidikan.

“Sebagai sebuah universiti awam yang sedang meniti usia matang, UMS menyedari  tanggungjawab dan sumbangan kami tidak terhad kepada pengajaran di
dalam bilik kuliah sahaja.

“Oleh yang demikian, UMS sentiasa berusaha untuk meneroka program-program yang boleh memberikan impak positif terhadap pelbagai aspek kehidupan komuniti
setempat.

“Antara contoh, UMS terlibat dalam penyelidikan yang menyumbang kepada kemajuan ilmu pengetahuan dan teknologi, di mana hasil penyelidikan tersebut
boleh menyelesaikan masalah masyarakat, mencipta inovasi, dan meningkatkan kualiti hidup,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UMS, Profesor Dr. Ts. Coswald Stephen Sipaut @ Mohd Nasri mewakili Naib Canselor UMS dalam upacara penyerahan dan pertukaran dokumen MoU berkenaan, baru-baru ini.

Tambah Kasim, UMS komited untuk menyediakan latihan tambahan, kursus profesional dan peluang pembangunan untuk pelajar dan masyarakat dalam membantu mereka melengkapkan diri dengan kemahiran dan pengetahuan yang relevan dengan industri.

“UMS sangat teruja untuk melangkah setapak ke hadapan dengan memformalkan kerjasama dengan PMWP. PMWP merupakan antara jabatan yang diakui memiliki reputasi tinggi di Wilayah Persekutuan atas sumbangan besar terhadap masyarakat Islam khususnya dalam aspek agama dan kebajikan masyarakat secara amnya.

“Kerjasama ini akan menyatukan kekuatan dan kepakaran UMS dan PMWP dalam bidang masing-masing, dan saya yakin ia akan memberi manfaat besar bukan sahaja kepada kedua-dua institusi kita malahan kepada komuniti,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here