Ibu bapa memilih kelengkapan sekolah untuk anak-anak mereka bagi persiapan akhir menjelang sesi persekolahan.

MUSIM persekolahan 2025 yang semakin hampir pastinya membawa keterujaan kepada anak-anak. Namun bagi ibu bapa, ia bermakna pertambahan kos sebanyak dua atau tiga kali ganda harus disediakan memandangkan pada tahun ini tiga peristiwa penting berlaku hampir serentak untuk masyarakat Melayu dan beragama Islam iaitu sesi persekolahan baharu, Ramadan dan Aidilfitri. Untuk itu, keadaan getir ini menuntut ibu bapa untuk lebih berhati-hati dalam merancang perbelanjaan bagi mengimbangi ketiga-tiga keperluan tersebut.

Keperluan anak-anak untuk kembali ke sekolah memerlukan peruntukan yang bukan sedikit khususnya dari segi pakaian seragam, kasut, beg, alat tulis, hinggalah yuran dan keperluan kokurikulum. Dalam keadaan ekonomi yang  sangat mencabar kini, kekangan kewangan semakin dirasai oleh banyak keluarga, terutama yang berpendapatan rendah dan sederhana. Ada juga mereka yang berpendapatan di atas garis sederhana yang  mengeluh kerana banyak aspek perlu diambil kira bagi memastikan mempunyai tabungan kewangan yang cukup untuk mengharungi bulan Februari sehingga Mac nanti.

Keperluan Sekolah Semakin Mahal, Ibu Bapa Berhati-hati Berbelanja

Setiap tahun, mahu atau tidak ibu bapa terpaksa menghadapi isu kenaikan harga barangan sekolah. Malah, pada tahun ini, kenaikan harga barangan kelengkapan sekolah naik antara 10 hingga 20 peratus berbanding tahun lalu. Jika sebelum ini sehelai baju sekolah boleh dibeli dengan harga RM40, kini harganya boleh mencecah RM60. Begitu juga dengan kasut sekolah yang dahulunya sekitar RM50, kini boleh mencapai RM100 sepasang. Tidak cukup dengan itu, alat tulis, buku kerja, dan yuran tertentu juga perlu dibayar.

Selain itu, meskipun buku teks disediakan melalui Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT), ibu bapa masih perlu membeli buku kerja dan bahan tambahan bagi memastikan anak-anak dapat mengikuti pembelajaran dengan lebih berkesan. Tambahan pula, bayaran yuran PIBG, insurans murid, serta keperluan kokurikulum seperti pakaian sukan dan aktiviti persatuan juga perlu diambil kira.

Oleh yang demikian, setelah dicongak, untuk seorang pelajar sekolah rendah, jumlah perbelanjaan persiapan persekolahan boleh mencecah antara RM300 hingga RM500. Manakala bagi pelajar sekolah menengah, angka ini boleh meningkat sehingga RM700 atau lebih. Itu baru jumlah untuk seorang anak. Bagaimana pula jika keluarga yang mempunyai ramai anak yang bersekolah? Tentu mereka lebih terhimpit dan terpaksa berjimat cermat dari pelbagai aspek bagi membayar segala keperluan.

Ramadan dan Aidilfitri: Perbelanjaan Bertambah, Perancangan Diperlukan

Cabaran kewangan ibu bapa bukan sahaja terhenti pada persiapan sekolah, tetapi juga berlanjutan ke bulan Ramadan dan Aidilfitri yang semakin hampir. Ramadan bukan sekadar bulan ibadah, tetapi juga bulan yang menuntut pengurusan kewangan yang lebih bijak. Kos makanan lazimnya meningkat, dan keperluan untuk menyediakan juadah sahur serta berbuka turut menyumbang kepada kenaikan perbelanjaan bulanan keluarga. Jika sebelum ini Masyarakat dilihat begitu ghairah berbelanja pada bulan Ramadan dan Aidilfitri, pada tahun ini  dijangka ibu bapa akan lebih berjimat cermat untuk mengimbangi keperluan ini tanpa menjejaskan komitmen lain.

Bagi sesetengah keluarga, mereka terpaksa membuat pilihan sama ada mengutamakan persiapan sekolah atau mengurangkan bajet untuk perayaan. Ada yang memilih untuk membeli pakaian seragam sekolah lebih awal sebelum Ramadan bagi mengelakkan perbelanjaan bertindih, manakala ada yang merancang bajet Aidilfitri secara sederhana agar keperluan pendidikan anak-anak tidak terjejas. Tapi percayalah, akan ada juga yang tidak dapat membeli pakaian baharu kerana terhimpit dengan masalah kewangan.

Inisiatif NGO dan Syarikat Korporat Membantu Meringankan beban

Dalam situasi sebegini, bantuan daripada NGO dan syarikat korporat sangat bermakna bagi keluarga yang memerlukan. Salah satu inisiatif yang telah banyak membantu golongan ini ialah program MySeragam anjuran Yayasan MyPrihatin dengan kerjasama sektor korporat.

Melalui program ini, pakaian seragam sekolah diagihkan kepada pelajar yang kurang berkemampuan hasil jahitan peserta program Jana Ekonomi Prihatin MyPrihatin. Selain itu, Yayasan MyPrihatin turut menyumbangkan beg sekolah serta bantuan tunai kepada keluarga yang layak. Sehingga kini, lebih 5,000 pelajar telah menerima manfaat daripada program ini. Ia membuktikan bahawa usaha kolektif mampu memberi impak besar kepada masyarakat yang memerlukan.

Justeru, dalam keadaan yang sangat mendesak ini, diharapkan lebih banyak pihak korporat akan tampil bekerjasama dengan NGO-NGO yang aktif menghulurkan bantuan kepada masyarakat seperti Yayasan MyPrihatin bagi memperluaskan lagi bantuan kepada golongan yang memerlukan. Dengan adanya lebih banyak pihak swasta, korporat dan organisasi yang menyokong inisiatif seperti ini, lebih ramai pelajar dan keluarga dapat menerima manfaat. Ini sekali gus dapat memastikan setiap anak mempunyai keperluan asas yang mencukupi untuk kembali ke sekolah dengan semangat baharu.

Harapan dan Kesimpulan

Dalam keadaan ekonomi yang mencabar, ibu bapa bukan sahaja perlu bijak mengurus kewangan tetapi juga memerlukan sokongan daripada pelbagai pihak bagi memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan yang terbaik dan dapat menjalani kehidupan yang sempurna. Bantuan daripada kerajaan, NGO, dan syarikat korporat amat diperlukan bagi mengurangkan tekanan kewangan keluarga, terutama dalam tempoh getir yang penuh dengan komitmen seperti ini.

Pendidikan bukan sekadar hak, tetapi juga harapan untuk masa depan yang lebih cerah. Tiada ibu bapa yang mahu melihat anak mereka ketinggalan hanya kerana mereka tidak mampu menyediakan kelengkapan sekolah yang diperlukan. Oleh itu, marilah kita bersama-sama memainkan peranan masing-masing iaitu pihak kerajaan, syarikat korporat, NGO, dan Masyarakat saling berganding bahu mendepani situasi ini bersama-sama agar tiada anak-anak yang berasa tersisih dan tercicir di sekolah kerana kesempitan hidup. Sesungguhnya, pendidikan adalah pelaburan masa depan, dan tanggungjawab ini perlu digalas bersama oleh seluruh masyarakat. Semoga lebih banyak pihak tampil membantu dan memberi sinar harapan kepada keluarga yang memerlukan agar setiap anak Malaysia dapat memulakan sesi persekolahan dengan penuh kegembiraan dan semangat untuk berjaya.

Memandangkan Ramadan dan Aidilfitri  bakal hadir tidak lama lagi, ini adalah masa terbaik untuk kita menunjukkan keprihatinan dan berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan. Mungkin bagi kita, RM100 hanyalah jumlah kecil, tetapi bagi seorang ibu atau bapa yang sedang mengatur perbelanjaan sekolah dan persiapan Ramadan  dan Aidilfitri serentak, ia mungkin membawa makna yang sangat besar. Justeru, saya mendoakan agar seruan ini dapat disahut oleh pihak yang berwajib dan golongan berkemampuan. Semoga Masyarakat Malaysia  akan terus hidup Bersatu padu dan prihatin antara satu sama lain demi untuk kesejahteraan Masyarakat Madani. Insyaallah.

RAHIMI ABD KARIM
TIMBALAN PENGERUSI
YAYASAN MYPRIHATIN

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here