KUALA LUMPUR – Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng, menuntut Kerajaan Perpaduan segera mengkaji semula Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dengan segera tahun ini.
Akta ini perlu dimansuhkan kerana disifatkan sebagai peruntukan yang zalim dan menindas, selaras dengan komitmen terhadap reformasi institusi, hak asasi manusia, dan kedaulatan undang-undang.
Menurut Ahli Parlimen Bagan itu, tindakan polis terhadap Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy, berhubung mogok lapar oleh keluarga tahanan SOSMA adalah membimbangkan baru-baru ini, sekali gus wujudnya keperluan mendesak untuk Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji dalam menangani kelemahan undang-undang tersebut.
“Janji Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Disember 2022 bahawa SOSMA boleh dikaji dan dipinda di masa depan perlu segera ditunaikan.
“Ingatlah, pada Mac 2022, Ketua Pembangkang ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah mengetuai usaha menolak lanjutan Seksyen 4(5) SOSMA bagi tempoh lima tahun. Seksyen ini membenarkan tahanan sehingga 28 hari tanpa akses kepada mahkamah,” katanya dalam kenyataan.
Sambung beliau, sejak dulu lagi pemimpin PH sudah menganggap SOSMA sebagai undang-undang yang terlalu keras dan menindas.
“Selain Seksyen 4(5), beberapa peruntukan lain juga menjadi persoalan, antaranya Seksyen 6 yang berkaitan pemintasan komunikasi, Seksyen 13 yang jaminan bagi tertuduh, menyebabkan mereka terus ditahan walaupun fakta kes tidak memerlukan reman sebelum perbicaraan.
“Seksyen 14 juga membenarkan pengambilan keterangan saksi tanpa dilihat atau didengar oleh tertuduh atau peguamnya dan Seksyen 30 membolehkan pendakwa raya memohon penahanan semula tertuduh yang telah dibebaskan, sekiranya ada rayuan,” ujarnya.
Tambah Guan Eng, reformasi institusi tidak boleh hanya menjadi slogan tetapi perlu dibuktikan dengan tindakan, termasuk menghapuskan peruntukan dalam SOSMA yang bercanggah dengan prinsip keadilan. – MalaysiaGazette