Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban.

PUTRAJAYA – Pasukan Inspektorat Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan melaksanakan pemeriksaan secara lebih menyeluruh ke atas semua bazar yang ada di seluruh negara bagi memastikan kelancaran dan keselamatan bazar Ramadan tahun ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pasukan itu akan menjalankan pemeriksaan di bazar-bazar serta tempat-tempat lain yang berisiko melibatkan warga asing yang menyalahgunakan status mereka.

“Memang kita akan lakukan pemeriksaan di semua bazar, termasuk tempat-tempat yang terdapat pekerja asing, bagi memastikan tiada sebarang kegiatan yang melanggar undang-undang,” katanya kepada media selepas merasmikan Inspektorat Penguatkuasaan di Nasyrul Quran, hari ini.

Menurutnya, pasukan pemeriksaan akan melaksanakan tugas mereka secara menyeluruh di seluruh negara, bukan hanya tertumpu kepada satu tempat sahaja.

“Kami akan memastikan pemeriksaan dilaksanakan di segenap tempat, dengan fokus kepada lokasi yang dikenal pasti mempunyai pekerja asing dalam jumlah yang ramai

“Kita akan susun semua jadual-jadual pemeriksaan dan sebagainya. Mereka akan laksanakan. Saya akan tetapkan pada pasukan pemeriksaan pemeriksaan ini untuk pergi ke segenap tempat,” jelasnya lagi.

Isnin lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran lesen bazar Ramadan yang didapati dijual semula kepada warga asing akan dibatalkan dengan segera.

Beliau menegaskan tindakan itu perlu dilaksanakan, kerana saban tahun terdapat pihak yang mengambil kesempatan untuk menjual semula lesen tersebut bagi mendapatkan keuntungan mudah.

Anwar turut berkata pembatalan lesen bazar Ramadan terhadap peniaga yang melakukan kesalahan sedemikian telah diamalkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan boleh dicontohi oleh pihak berkuasa tempatan lain.

Dalam pada itu, Zakaria berkata, pasukan itu juga akan dilengkapi dengan kamera badan (BWC) sebagaimana yang akan digunakan pegawai JIM di kaunter masuk utama negara.

“Buat masa ini, kita belum ada. Tapi kita memang ke arah itu,” katanya dalam sidang media sama.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, KDN sedang mempertimbangkan untuk menggunakan BWC kepada pegawainya sebagaimana yang akan dilaksanakan di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here