Askar Thailand mengambil mangsa pemerdagangan manusia dari Myanmar. foto BBC

BANGKOK – Lebih 250 orang daripada 20 warganegara yang bekerja dengan sindiket di Karen, Myanmar telah dibebaskan oleh kumpulan bersenjata etnik dan dibawa ke Thailand.

Mereka diterima oleh tentera Thailand, dan sedang dinilai untuk mengetahui sama ada mereka adalah mangsa pemerdagangan manusia.

Minggu lalu Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra bertemu pemimpin China Xi Jinping dan berjanji untuk menutup pusat penipuan yang telah berleluasa di sepanjang sempadan Thai-Myanmar.

Kerajaannya telah menghentikan akses kepada kuasa dan bahan api dari sempadan Thai, dan memperkukuh peraturan perbankan dan visa untuk cuba menghalang pengendali penipuan menggunakan Thailand sebagai negara transit untuk memindahkan pekerja dan wang tunai.

Sebenarnya, beberapa ahli Parlimen pembangkang Thailand telah mendesak tindakan seperti ini sejak dua tahun lalu.

Pekerja asing biasanya terpedaya dengan tawaran gaji yang lumayan, atau dalam beberapa kes ditipu untuk melakukan kerja yang berbeza di Thailand, bukan Myanmar.

Sindiket biasanya mencari pekerja yang mempunyai kemahiran dalam bahasa Inggeris dan Cina.

Mereka dipaksa untuk menjalankan aktiviti jenayah dalam talian, daripada ‘love scam’ dan penipuan crypto hingga pengubahan wang dan perjudian haram.

Sebelum ini, mangsa-mangsa pemerdagangan manusia dipaksa untuk membayar tebusan bagi pembebasan mereka.

Malah, ada sebahagian daripada mereka yang melarikan diri kerana diseksa.

Pekerja asing yang dibebaskan telah diserahkan oleh Tentera Kebajikan Karen Demokratik, salah satu daripada beberapa puak bersenjata yang mengawal wilayah di dalam negeri Karen.

Mereka yang dibebaskan termasuk 221 lelaki dan 39 wanita, dari Ethiopia, Kenya, Filipina, Malaysia, Pakistan, China, Indonesia, Taiwan, Nepal, Uganda, Laos, Burundi, Brazil, Bangladesh, Nigeria, Tanzania, Sir Lanka, India, Ghana dan Kemboja. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here