Setiausaha Agung URUMAI, Satees Muniandy

KUALA LUMPUR- Cadangan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui supaya Kementerian Hal-Ehwal Bukan Islam ditubuhkan adalah satu saranan dangkal yang tidak faham Perlembagaan Persekutuan, kata Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (URIMAI).

Setiausahanya, Satees Muniady menegaskan, sudah memadai orang bukan Islam mengamalkan agama masing-masing tanpa ada campur tangan kerajaan.

“Cadangan ini adalah cadangan regresif yang membuka pintu kepada kerajaan untuk campur tangan dalam hal ehwal agama bukan Islam di Malaysia.

“Jika perkara itu terjadi, esok lusa kerajaan akan mula mengeluarkan garis panduan untuk agama Kristian, Hindu, Budha dan lain-lain.

“Campur tangan itu mungkin akan menyentuh amalan keagamaan termasuk garis panduan untuk perayaan agama masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2025/02/13/yb-dap-berhenti-cetus-isu-mencabar-sensitiviti-masyarakat/

Tambah Satees, kebebasan beragama yang dijamin Perlembagaan Persekutuan akan mula luntur jika kerajaan dibenar untuk campur tangan dalam hal ehwal agama bukan Islam.

Jelas beliau, di bawah Perlembagaan Persekutuan kerajaan tidak mempunyai kuasa ke atas penganutan agama lain dan dengan itu beliau mempersoalkan rasional di sebalik cadangan yang diutarakan Ahli Parlimen DAP itu.

Katanya, Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan Islam sebagai agama persekutuan dan kebebasan untuk mengamalkan agama lain dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

Menurut Satees, satu-satunya kuasa mengenai selain Islam yang berada di bawah Kerajaan Persekutuan adalah tentang wakaf (endowments) agama Hindu.

Itu pun Kerajaan Persekutuan hanya boleh memainkan peranan penubuhan dan memantau wakaf hindu dan bukannya mentadbir secara langsung.

“Sejak kemerdekaan negara, perkara ini dipatuhi oleh semua kerajaan, maka ahli parlimen Kerajaan Campuran MADANI, janganlah memulakan satu cadangan untuk menafikan ‘kebebasan’ yang diamalkan selama ini,” ujar beliau lagi.

Tambah beliau, Ahli Parlimen DAP itu mungkin mahu dilihat sebagai liberal namun cadangan tersebut pada hakikatnya adalah bersifat regresif.

“Kalau DAP dan para MPnya mempunyai apa-apa suara dalam Kerajaan Persekutuan, mereka perlu minta peruntukkan dana yang telus disalurkan kepada institusi agama selain Islam.

“Mungkin boleh cadangkan ‘sin tax’ dijadikan peruntukkan untuk hal ehwal bukan Islam, dengan kaedah yang telus.

“Dasar sedia ada yang memperuntukkan sejumlah wang kecil melalui Kementerian Perumahan (Menteri DAP) adalah sangat kecil dan tidak telus langsung.

“Perkara ini tidak dibincang oleh mana-mana Ahli Parlimen DAP, tetapi ada pula yang membuat cadangan yang tidak logik, tanpa memahami Perlembagaan Persekutuan.

“Saya menyeru supaya ahli-ahli Parlimen DAP untuk hentikan drama politik mereka dan fokus untuk bersuara dalam isu rakyat, seperti yang parti itu pernah buat seketika dahulu,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here