SINTOK – Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Perbincangan Meja Bulat bertemakan “Memperkukuh Hubungan Serantau dan Kecekapan Operasi: Pandangan Mengenai Integrasi Pelabuhan, Logistik, dan Operasi Rentas Sempadan di Malaysia”.
Program ini bertujuan mengupas cabaran serta penyelesaian dalam sektor logistik dan perdagangan rentas sempadan bagi mempertingkatkan kecekapan operasi di Malaysia.
Perbincangan ini dianjurkan oleh Institut Hal Ehwal Antarabangsa dan Diplomasi Asia (AIIAD) dan Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), UUM, dengan kerjasama The Chartered Institute of Logistics and Transport (CILTM) – Seksyen Kedah, Perlis dan Terengganu, serta Pusat Logistik dan Pengangkutan (CeLT), STML, UUM.
Turut serta dalam program ini ialah Kumpulan Penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang membentangkan kajian berkaitan pengurusan pelabuhan di Malaysia.
Majlis ini telah dirasmikan oleh Profesor Madya Dr. Mohammad Zaki Ahmad, Pengarah AIIAD, UUM, dan disusuli dengan dua sesi pembentangan yang menampilkan pakar akademik serta industri dalam bidang logistik dan perdagangan rentas sempadan.
Antara pembentang utama ialah Profesor Madya Ts. Dr. Jagan Jevan, CMILT dari UMT dan Profesor Madya Ts. Dr. Mohamad Ghozali Hassan, CMILT dari UUM, yang berkongsi pandangan mengenai kecekapan operasi pelabuhan dan prosedur rentas sempadan di Malaysia.
Sesi kedua pula memberi tumpuan kepada aspek logistik dan kawal selia barangan dagangan di pintu masuk Malaysia. Mustakim Abdul Kahar dan Madzli Harun membentangkan hasil penyelidikan mengenai sistem pengangkutan dan pemeriksaan komprehensif barangan haiwan serta tumbuhan.
Program ini dijangka membuka ruang untuk perkongsian idea dan penyelesaian inovatif dalam meningkatkan kecekapan pengurusan logistik dan operasi rentas sempadan, sekali gus memperkukuh hubungan serantau dalam sektor perdagangan dan pengangkutan. – MalaysiaGazette