Anthony Loke (belakang tiga, kiri) menyaksikan pemeteraian perjanjian antara Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk Mohd Zarif Hashim (depan dua, kanan) dengan Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Integrated Properties Sdn Bhd Chong Sau Min (depan dua, kiri) pada Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama Bagi Pembangunan Hartanah di Bukit Cagar, Johor Bahru hari ini. 

JOHOR BAHRU – Projek pembinaan Sistem Transit Rapid (RTS) Link antara Malaysia dan Singapura sudah mencapai kemajuan 100 peratus setakat hujung bulan lalu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, projek berkenaan berjalan mengikut jadual membabitkan pembinaan infrastruktur landasan RTS Link.

“Kemajuan pembinaan projek RTS bahagian Malaysia, telah mencapai tahap kemajuan yang memberangsangkan kerja-kerja pembinaan infrastruktur rel bagi Kategori Tahap 1 telah disiapkan.

“Selain itu, akses telah diberikan kepada OpCo (RTS Operations Pte Ltd) pada akhir September tahun bagi memulakan kerja-kerja pemasangan sistem rel.

“Ini termasuk pemasangan pelbagai sistem utama termasuk kerja-kerja landasan, bekalan dan pengagihan tenaga, telekomunikasi, sistem semboyan, pintu skrin platform, serta sistem kutipan tambang atau pagar automatik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama bagi Pembangunan Hartanah Bersepadu Bukit Chagar antara Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dan Sunway Integrated Properties Berhad, di sini hari ini.

RTS Link dijadualkan siap menjelang Disember 2026 menghubungkan Bukit Chagar ke Woodlands North dengan masa perjalanan selama lima minit.

Dengan kapasiti puncak 10,000 penumpang sejam setiap hala, RTS Link bertujuan meningkatkan ketersambungan rentas sempadan dan memupuk hubungan Malaysia-Singapura yang lebih kukuh.

Dalam majlis yang sama, Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dan Sunway Integrated Properties Sdn Bhd menandatangani kerjasama strategik untuk membangunkan Pembangunan Bersepadu Bukit Chagar dengan nilai pembangunan kasar dianggarkan melebihi RM2.6 bilion.

Anthony berkata, menerusi gabungan komponen perumahan, komersial, pusat membeli-belah, hospitaliti dan kesihatan, pembangunan seluas kira-kira 1.711 hektar bersebelahan stesen Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura berkenaan akan mewujudkan satu ekosistem bandar yang berdaya sendiri.

Impak projek pembangunan bersepadu itu katanya, bukan sahaja terbatas di Bukit Chagar tetapi turut membawa kesan yang jauh lebih mendalam kepada kemajuan Johor secara keseluruhan.

“Gabungan beberapa projek utama yang kini berlangsung di Johor Bahru meletakkan Johor di landasan kukuh untuk muncul sebagai salah satu negeri paling maju di Malaysia, didorong oleh inisiatif strategik seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ),” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here