Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sempena Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 13 FEBRUARI 2025.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan beliau akan menjawab berkenaan isu titah adendum sebaik sahaja perbicaraan berkaitan kes tersebut selesai di mahkamah.

Buat masa ini, jelas Perdana Menteri, beliau tidak boleh mengulas isu terbabit kerana masih di peringkat mahkamah selain tidak boleh menyinggung kedudukan Raja-Raja Melayu.

Tegasnya, beliau mempunyai fakta berkenaan isu titah adendum itu kerana telah menghubungi Raja-Raja Melayu mengenainya termasuk Sultan Kelantan.

“Saya sudah beritahu, saya nak jawab macam mana, kes masih di mahkamah, tetapi saya boleh beri jaminan, selesai sahaja kes mahkmah, saya akan jawab…saya nak tengok Ketua Pembangkang hadir atau tidak.

“Nak lari dari mana? Kamu (Ahli Parlimen pembangkang) jeritlah banyak mana pun, saya tahu fakta dia.

“Tapi nak suruh saya singgung kedudukan Raja-Raja Melayu, saya tak boleh…tapi saya dalam hal ini, saya memang hubungi Raja-Raja Melayu, tanya Sultan Kelantan.

“Kalau diizinkan selepas kes mahkamah, saya sudah janji di sini saya akan jelaskan, tetapi saya tidak boleh sekarang kerana kes itu masih di mahkamah…tetapi pembangkang dia tidak peduli subjudis atau apa, sebab dia anggap dia above the law (lebih tinggi daripada undang-undang)” katanya ketika sesi jawapan Menteri pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Anwar (PH-Tambun) menjawab perkara dibangkitkan ketika soalan tambahan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin sama ada isu titah adendum menjadi antara faktor pelabur-pelabur asing tidak yakin dengan polisi negara.

Sementara itu, Anwar menolak dakwaan Hamzah serta Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang turut membangkitkan isu sama kononnya titah adendum menyebabkan negara kehilangan pelabur asing.

Jelas Anwar, angka-angka seperti bon, pelaburan, pasaran saham dan keuntungan syarikat di negara ini menunjukkan peningkatan berbanding tahun-tahun sebelumnya, sekali gus memberi gambaran keyakinan pelaburan asing terhadap Malaysia.

“Saya nak bangkit soal titah adendum ini kerana Ketua Pembangkang sebut ia sebabkan pelaburan jatuh.

“Saya nak tanya angka dari mana ini? Sebab seperti yang saya sebutkan pelaburan kita meningkat.

“Jadi cakap (Ketua Pembangkang) itu tidak bertanggungjawab, sebab itu saya jawab degan tegas, (sebab) cakap mengarut, tidak berdasarkan fakta.

“Nasib baik dia (pelabur asing) tak dengar cakap Ketua Pembangkang, kalau tak, tak datang dia (melabur ke Malaysia),” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here