KUALA LUMPUR – Tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang bakal melaksanakan tarif baharu agresif ke atas Kanada, Mexico dan China menuntut kerajaan mempercepatkan pelaksanaan reformasi ekonomi yang telah dibentangkan.
Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, ini kerana perkembangan tersebut memberi impak kepada ekonomi dunia apabila berlakunya perang dagangan antara negara yang terlibat.
Malah, ia akan memberi kesan kepada Malaysia terutama menyebabkan ketidaktentuan terhadap sentimen pelaburan.
Sehubungan itu, katanya, asas ekonomi negara perlu diperkukuhkan yang akan memberi kesan positif terhadap pelaburan jangka masa panjang dan pendek.
Ini termasuk usaha mengukuhkan kedudukan fiskal negara, melonjakkan aktiviti ekonomi ke peringkat nilai yang lebih tinggi dan meneruskan dasar dan inisiatif yang mesra pelaburan dan perniagaan.
“Walaupun akan ada ketidaktentuan (dalam) pentadbiran Trump tetapi keputusan pelaburan yang akan menjaga daya saing ekonomi pada masa akan datang adalah kesan jangka masa panjang.
“Jadi kita perlu menangani sentimen aliran pelaburan di pasaran saham dan mata wang untuk jangka masa pendek. Tetapi keputusan pelaburan berbilion ringgit yang menawar peluang pekerjaan dan memacu ekonomi lima hingga 15 tahun akan datang, ini adalah keputusan jangka masa panjang pelabur.
“Dan keputusan jangka masa panjang pelabur, dipengaruh kedudukan fiskal negara, kemampuan kita menghasilkan produk bernilai tinggi untuk mengambil peluang perang dagangan dan sudah tentu (ia) bersabit dengan kemampuan daya tenaga pekerja menghasilkan produk bernilai,” jelasnya.
Rafizi berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin (Pakatan Harapan) mengenai kesan daripada keputusan dan dasar-dasar baharu Trump.
Selain itu Rafizi berkata, kerajaan juga perlu menggunakan strategi serampang dua mata dengan memastikan hubungan dengan AS dan negara dagangan lain masih kekal baik.
“Kerajaan (perlu) mengambil kaedah supaya kita guna serampang dua mata. Kita mesti peka kepada setiap perkembangan bukan hanya melibatkan Malaysia.
“Kalau ada apa-apa isu yang timbul walaupun tidak terbabit dengan Malaysia, kerajaan perlu bertindak proaktif untuk menyelesaikan perkara itu dengan segera supaya kita terus mengekalkan hubungan positif dengan rakan dagang seperti AS dan China (contohnya),” tambah beliau.- MalaysiaGazette