KUALA LUMPUR – Temu duga terbuka bagi jawatan di sektor awam selain 5,000 kekosongan di sektor swasta bakal ditawarkan sempena Karnival Kerjaya MYFutureJobs (MFJ).
Karnival dua hari yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dari 15 hingga 16 Februari ini anjuran bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan
Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).
Ia diadakan selari tekad Kerajaan Madani ke arah merancakkan pasaran buruh negara.
Menurut kenyataan dikeluarkan PERKESO, antara yang menarik pengisian program kali ini adalah sesi temu duga terbuka bagi jawatan Pengajar Gred U9 (Teknologi Pergigian) julung
kali diadakan dan dibawakan oleh MYFutureJobs (MFJ) demi meningkatkan kadar pengisian kekosongan jawatan tersebut dalam sektor awam secara lebih fleksibel.
Calon yang berjaya dalam temu duga terbuka bagi jawatan berkenaan dilantik bersandarkan kelulusan kekosongan jawatan di Kementerian Kesihatan (KKM) di seluruh negara.
Menerusi karnival kerjaya sama, SPA juga akan mengadakan Ujian Kecergasan dan Pemeriksaan Fizikal (UFPK) secara terbuka bagi mendapatkan calon untuk mengisi kekosongan klasifikasi jawatan Keselamatan dan Pertahanan Awam.
“Melalui kerjasama ini, sesi temu duga akan dijalankan secara lebih berkesan melalui saluran yang mudah diakses sekali gus menjimatkan masa dan menangani sebarang kerenah birokrasi.
“Malah keperluan pasaran buruh negara berupaya dipenuhi apabila dipadankan dengan potensi pencari kerja, manakala segala hebahan maklumat dibuat menerusi sistem digital,” kata kenyataan yang sama.
Dalam pada itu, sebanyak 30 majikan sektor swasta dan badan berkanun terlibat antaranya Habib Group, IHH Healthcare Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tan Chong Group, GHL System, Agro Bank, Prasarana Malaysia Berhad (PRASARANA), Bank Islam serta AEON Co. (M) Berhad.
Jawatan terbaik seperti Pengurus Kewangan Perniagaan, Pengurus Kumpulan Kewangan, Pengarah Jualan dan Konsultan Teknikal pula menawarkan gaji lumayan berkadar antara
RM13,000 hingga RM15,999.
Untuk rekod, MFJ seliaan PERKESO melaksanakan 4,156 karnival kerjaya dan temu duga sepanjang tahun lalu dengan 53,327 individu berjaya mendapat pekerjaan. – MalaysiaGazette