KUALA LUMPUR- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Cuba, Bruno Eduardo Rodriguez Parrilla, hari ini.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata, pelbagai perkara dibincangkan dalam pertemuan itu yang boleh memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
Tambahnya, pertemuan tersebut juga bersempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dengan Cuba yang terjalin sejak 6 Feb 1975.
“Kami sempat berbicara dan bertukar pandangan mengenai sinergi kerjasama dalam industri halal, kesihatan, pelaburan dan perdagangan, ASEAN, BRICS serta situasi di Gaza.
“Dalam pertemuan itu, saya menitipkan jemputan kepada Presiden Cuba Miguel Díaz-Canel untuk berkunjung ke negara ini bagi merapatkan lagi hubungan diplomatik yang terjalin selama ini,” katanya.
Parrilla berada di Malaysia untuk lawatan rasmi selama empat hari bermula Rabu hingga Sabtu ini (12-15 Feb).
Ia merupakan lawatan pertama beliau ke Malaysia sejak memegang jawatan itu pada 2 Mac 2009.- MalaysiaGazette