KUALA LUMPUR- Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu, beliau menghubungi Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi hari ini dan berbincang mengenai perkembangan terkini isu kemanusiaan dan usaha pembangunan semula Gaza.
Perdana Menteri berkata, beliau mengulangi pendirian Malaysia untuk terus membantu rakyat Palestin terutama membabitkan bantuan kemanusian dan perubatan serta pembangunan semula, di samping tekal menyokong perjuangan menuntut keadilan buat Palestin.
“Alhamdulillah saya dan Presiden El-Sisi senada dalam pendirian menolak usaha menghalau rakyat Palestin keluar dari bumi Gaza.
“Langkah ini bakal memberi dampak buruk terhadap usaha mewujudkan sebuah negara Palestin yang merdeka.
“Saya turut zahirkan penghargaan terhadap pendirian Presiden El-Sisi dan Kerajaan Mesir yang terus menghulurkan bantuan dan mempermudahkan usaha Malaysia menyampaikan sumbangan dan perubatan terhadap rakyat Palestin yang terkesan dengan serangan serta kekejaman genosid rejim Zionis Israel,” katanya dalam satu hantaran di media sosial, malam ini.
Tambah Anwar, Presiden El-Sisi turut menyatakan sokongan terhadap usaha digerakkan Jepun dan Malaysia untuk membangunkan semula Gaza menerusi inisiatif Kerjasama Asia Timur Untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD).
Katanya, gerakan membantu Palestin pasti lebih berkesan sekiranya lebih banya negara bersolidariti dan bersama-sama dalam usaha ini.
Selain itu Anwar berkata, beliau dan Presiden El-Sisi juga sempat bicarakan soal hubungan dua hala Malaysia-Mesir dan sekali lagi mengulangi komitmen untuk memperkukuh kerjasama ekonomi, pelaburan, perdagangan, pendidikan dan kebudayaan kedua-dua negara. -MalaysiaGazette