Ketua Kluster Makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal

PUCHONG – Isu kehilangan beras putih tempatan di pasaran dianggap selesai selepas kerajaan bersetuju menyelaraskan harga lantai padi kepada RM1,500 satu tan berbanding RM1,300 satu tan, berkuat kuasa Ahad ini.

Ketua Kluster Makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, kerajaan komited membantu rakyat termasuk rantaian industri padi dari pesawah, pengilang, pemborong hingga ke peruncit.

“Pada saya, pengumuman yang dibuat oleh Menteri (Pertanian dan Keterjaminan Makanan-MAFS), isu kehilangan beras putih tempatan pada saya selesai.

“Dalam isu beras putih tempatan, pihak terlibat iaitu pesawah dan pengguna, di tengah-tengah itu rantaian ialah pengilang, pemborong dan peruncit.

“Kerajaan telah mengambil perhatian serius untuk menyelesaikan masalah pesawah, kerajaan telah naikkan harga lantai dari RM1,300 kepada RM1,500 satu tan metrik walaupun permintaan daripada pesawah sehingga RM1,800.

“Permintaan pesawah itu sebenarnya turun-naik, sebab bila beras putih hilang, pengilang berebut-rebut membeli padi menyebabkan harga padi naik RM1,800 hingga RM2,000 satu tan metrik,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kerajaan bersetuju menyelaraskan harga lantai padi kepada RM1,500 satu tan yang berkuat kuasa Ahad ini.

Selain itu, kerajaan turut mengekalkan harga beras putih tempatan (BPT) pada kadar RM2.60 satu kilogram (kg) bagi memastikan bekalan beras terus stabil di pasaran.

Langkah itu melibatkan peruntukan kira-kira RM150 juta bagi tempoh enam bulan untuk menyerap sebahagian kos pengeluaran bagi memastikan keberadaan bekalan BPT kira-kira 24 juta kampit 10kg di pasaran.

Dalam pada itu, Syed Abu Hussin juga berkata, pihaknya menyambut baik usaha MAFS menggerakkan pasukan penguat kuasa yang dikenali sebagai MAREA.

“Usaha ini harus disokong dan dibantu yang boleh menyelesaikan masalah beras putih tempatan yang hilang di pasaran,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here