Mas Ermieyati (tengah) bersama ahli PAC pada sesi pendengaran awam isu Peningkatan Bayaran Pemium Insurans Kesihatan, Caj Hospital Awam dan Impak kepada Kesihatan Awam di sebuah hotel di Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menjangkakan proses prosiding berhubung isu peningkatan premium insurans kesihatan serta caj hospital swasta akan memakan masa yang lama.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, ia susulan penyelidikan teliti dilakukan agar laporan yang dihasilkan komprehensif sekali gus terbaik untuk rakyat.

Jelas beliau, prosiding itu memerlukan pihaknya mengumpulkan maklumat yang menyeluruh melibatkan banyak pihak termasuk kerajaan, sektor swasta serta rakyat.

“Dalam PAC ini, kita tidak boleh buat jangkaan (bila prosiding selesai) kerana ia akan mengambil masa panjang sebab ada banyak perkara-perkara baharu yang mungkin timbul tambahan pula ia melibatkan pelbagai pihak.

“Malah laporan yang akan dikeluarkan oleh PAC perlu bersifat komprehensif dan bukan hanya sekadar laporan biasa, bagi memastikan ia dapat membantu kerajaan dalam merangka dasar yang lebih baik untuk kesejahteraan rakyat.

Pelbagai pihak hadir bagi memberikan pandangan pada sesi tersebut.

“Saya harap ia tidak berhenti di sini, kita semua nak yang terbaik terutama sekali melibatkan isu kesihatan awam dan banyak perkara yang perlu dilihat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Pendengaran Awam PAC di sebuah hotel di Bukit Jambul di sini hari ini.

Terdahulu, sesi pendengaran awam buat kali pertama itu dihadiri kira-kira 100 orang awam bertujuan mengumpul maklum balas dan pandangan melibatkan isu Peningkatan Bayaran Pemium Insurans Kesihatan, Caj Hospital Awam dan Impak kepada Kesihatan Awam yang akan dimasukkan dalam laporan PAC sebelum dibentangkan di Parlimen.

Hadir sama, Ahli PAC, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin; Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail dan Ahli Parlimen Saratok, Datuk Ali Biju.

Sementara itu, Tze Tzin berkata, kira-kira 50 peratus populasi rakyat Malaysia memiliki insurans perubatan termasuk mereka yang tergolong dalam kumpulan B40.

“Sebahagian besar rakyat mereka berasa tertekan dengan situasi ini kerana mereka mengharapkan insurans untuk membantu membayar bil hospital swasta.

“Justeru, penyelesaian yang adil dan mampan perlu dicari bagi memastikan rakyat tidak terus terbeban dengan kos kesihatan yang semakin meningkat,” ujarnya.

Pada Disember lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) meminta semua syarikat insurans dan takaful yang menawarkan produk insurans/takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) melaksanakan pelarasan premium secara pengagihan sekurang-kurangnya selama tiga tahun sehingga akhir 2026.

Langkah itu bagi mengurangkan bebanan terhadap pemegang polisi yang mengalami peningkatan kenaikan premium. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here