KUALA LUMPUR – Pengumuman penyelarasan harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 per metrik tan yang akan berkuat kuasa pada 16 Februari adalah bukti kerajaan perpaduan komited membela nasih pesawah.
Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, penyelarasan itu jelas menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk meningkatkan pendapatan pesawah selepas hampir sedekad harga lantai belian padi tidak berubah.
“Dengan kenaikan ini, pesawah bukan sahaja memperoleh pendapatan yang lebih baik, malah ia memberikan jaminan ekonomi yang lebih stabil kepada golongan yang bergantung kepada industri padi sebagai sumber utama kehidupan.
“Lebih penting, Kerajaan MADANI juga memastikan langkah ini tidak membebankan rakyat dengan memperuntukkan subsidi sekitar RM150 juta kepada pengilang padi bagi mengekalkan harga jualan maksima beras putih tempatan pada kadar RM2.60 sekilogram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Untuk rekod, kenaikan ini merupakan kali kedua dalam tempoh dua tahun selepas kenaikan daripada RM1,200 ke RM1,300 pada 2023.
Semalam, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kerajaan bersetuju menyelaraskan harga lantai padi kepada RM1,500 satu tan berbanding RM1,300 satu tan sebelum ini, berkuat kuasa Ahad ini.
Perkara itu diputuskan setelah mengambil kira kenaikan kos upah dan kos input pertanian seperti baja, racun dan lain-lain serta impak kepada kos pengeluaran beras.
Dalam pada itu, Mohammed Taufiq menambah, langkah berkenaan adalah pendekatan menyeluruh yang memastikan kesejahteraan pesawah dan rakyat terus terpelihara.
“Saya turut menghargai peranan BERNAS khususnya Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, yang telah menunjukkan komitmen dalam membantu golongan pesawah dengan menyalurkan tambahan RM30 juta kepada pesawah miskin.
“Inisiatif ini melengkapi usaha Kerajaan dalam memastikan bantuan terus sampai kepada mereka yang memerlukan.
“Sebagai Ahli Parlimen bagi kawasan yang sebahagian besarnya terdiri daripada pesawah, saya amat menyokong langkah ini dan akan terus memperjuangkan kepentingan komuniti pesawah agar kebajikan mereka sentiasa terjamin,” katanya lagi.
Sebelum ini, kerajaan menetapkan harga lantai belian padi RM1,300 bagi setiap tan dengan pengilang menawarkan harga belian lebih tinggi iaitu antara RM1,500 hingga RM1,800 di pasaran terbuka.
Bagaimanapun, Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) membantah penetapan itu yang diputuskan pada mesyuarat pengilang beras bersama Ketua Pengarah Bahagian Industri Padi dan Beras, baru-baru ini. – MalaysiaGazette