KUALA LUMPUR – Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek dilihat menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang tempoh kepimpinannya dan menjadikannya calon paling layak untuk terus menerajui sayap wanita menjelang pemilihan PKR pada Mei ini.
Malah Menteri Pendidikan itu disifatkan sebagai seorang pemimpin bertanggungjawab membawa pelbagai pembaharuan yang memberi impak positif bukan sahaja dalam bidang pendidikan tetapi juga dalam kepimpinan parti untuk penggal 2025-2028.
Itu pandangan Ketua Wanita PKR Selangor, Rozana Zainal Abidin yang merasakan Fadhlina seorang pemimpin berkarisma yang telah membawa perubahan besar dan menyuntik nafas baharu dalam organisasi Wanita PKR.
“Beliau merupakan wanita pertama dalam parti yang menjawat jawatan Menteri Pendidikan, satu pencapaian yang sangat membanggakan. Banyak perubahan dan penambahbaikan dalam sistem pendidikan dilakukan secara tersusun yang turut menjadi cerminan kepada kepimpinan Wanita PKR.
“Selain pengalaman luas sebagai aktivis masyarakat dan pengamal undang-undang, Fadhlina juga berjaya memperkukuhkan pergerakan Wanita PKR dengan gabungan kepimpinan lama dan baharu bagi memastikan keseimbangan dalam organisasi,” kata mantan Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang itu dalam kenyataan.
Sambung Rozana, salah satu inisiatif utama yang diperkenalkan di bawah kepimpinan Fadhlina ialah Sistem Asimilasi Struktur Asas Kepemimpinan (ASAK), yang membantu menggerakkan Wanita PKR ke arah pendigitalan sejajar dengan aspirasi kerajaan Madani dalam mencapai pembangunan mampan.
“Sistem ASAK diwujudkan untuk mengurus tadbir Wanita PKR secara lebih sistematik dan cakna digital. Latihan kepimpinan wanita juga dipertingkatkan termasuk memperkasakan peranan wanita di peringkat cabang dan ranting serta menghantar wakil dalam semua siri pilihan raya,” tambahnya.
Jelas Rozana lagi, pendekatan kepimpinan Fadhlina yang inklusif merangkumi semua golongan wanita menjadikannya pemimpin yang mampu membawa aspirasi besar bukan sahaja kepada parti tetapi juga kepada kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Walaupun beliau sangat lantang dalam perjuangannya selama ini namun pada masa sama Fadhlina juga mampu menjalin hubungan baik dengan semua pihak, sama ada rakan mahupun lawan tanpa mengira latar belakang tanpa sedikit pun jejaskan prinsip,” katanya. – MalaysiaGazette