Polis membawa seorang lelaki warga Israel, Shalom Avitan berusia 38 tahun untuk didakwa atas pertuduhan memiliki enam pucuk pistol dan 200 butir peluru di Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 12 APRIL 2024.

KAJANG – Lelaki warga Israel, Avitan Shalom yang didakwa atas dua pertuduhan berkaitan senjata dan peluru akhirnya bersetuju untuk prosiding kesnya berjalan dalam bahasa Inggeris andainya tiada khidmat jurubahasa Ibani (Hebrew) pada pendengaran akan datang.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam mewakili lelaki tersebut, Jeffrey Ooi hari ini di hadapan hakim baharu, Mohd Zaki Mohd Salleh yang menggantikan hakim mendengar sebelum ini, Norina Zainol Abidin yang sudah berpindah ke mahkamah lain.

Kata Jeffrey, pihaknya mendapat arahan daripada tertuduh untuk perbicaraan diteruskan dalam bahasa Inggeris andainya tiada jurubahasa Ibani.

Sebelum ini mahkamah telah tiga kai menangguhkan prosiding kes berikutan pertikaian daripada pihak pembelaan berhubung jurubahasa Ibrani ini.

Sepatutnya perbicaraan sudah bermula sejak awal Januari lepas.

Dalam pada itu, hari ini juga merupakan hari pertama kes ini mula berjalan di Mahkamah Kompleks Penjara Kajang di sini dengan kawalan ketat pegawai penjara dan pegawai Unit Tindakan Khas (UTK).

Malah wartawan yang ingin mengikuti prosiding perlu mendaftar lebih awal dan melalui  saringan di tiga pos pengawal sebelum dibenarkan memasuki kawasan penjara manakala jurugambar dan video dilarang membuat liputan.

Kumpulan wartawan juga ditempatkan di kawasan berasingan di mana prosiding ditayangkan secara langsung dan bukannya mahkamah terbuka.

Ketika prosiding hari ini, Jeffrey mendedahkan, peguam terdahulu, Datuk Naran Singh sudah menarik diri daripada mewakili Avitan dalam kes ini.

Artikel berkaitan: 

Hakim Mohd Zaki kemudian menetapkan semula tarikh perbicaraan 14 hari bermula Mac ini bagi mendengar kes itu di Mahkamah Kompleks Penjara Kajang.

Tarikh itu ditetapkan bermula 19 hingga 21 Mac, 13 hingga 16 Mei, 3 hingga 5 Jun dan 23 hingga 26 Jun.

Hakim juga memaklumkan perbicaraan ini akan dijalankan sepenuhnya di Mahkamah Kompleks Penjara Kajang sehingga tamat prosiding.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Avitan didakwa memiliki sekotak Shell Shock NAS3 9mm mengandungi lapan butir peluru, tiga kotak Bullet Master Co Ltd mengandungi 150 butir peluru dan 42 butir peluru di dalam tiga senjata berlainan tanpa lesen atau permit senjata.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 jika sabit salah tertuduh berdepan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Manakala pertuduhan pindaan kedua, Avitan didakwa berdagang enam senjata api iaitu Glock 19 USA 9×19, Sig Sauer P3205P, Cougar 8000FT, Glock 17 Gen4 Austria 9×19, M&P 9C Smith & Wesson Springfield MA USA dan Stoeger Cougar 8000F.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta sebatan tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan.

Kesalahan ini dilakukan di sebuah hotel terkemuka di Jalan Ampang antara 6.46 petang pada 26 Mac dan 6 petang pada 28 Mac tahun lalu. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here