ALOR SETAR – Sebanyak 48,000 ekor ayam mati selepas ladang penternakan di Kampung Paya Muyud dekat Jitra musnah dalam kebakaran malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Bustan Karudin berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada 11.01 malam sebelum tiba dilokasi kejadian kira-kira 25 minit kemudian.
“Seramai 26 anggota dari BBP Jitra, BBP Bukit Kayu Hitam dan BBP Alor Setar telah dikerahkan ke lokasi kejadian dan sebanyak lima Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Bukit Pinang, Sebarang Nyonya, Pokok Sena, Jalan Kundur dan Kilang Tebu turut membantu.
“Kebakaran melibatkan ladang penternakan ayam jenis bangunan separa kekal dan kemusnahan hampir 80 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pihaknya telah dimaklumkan bahawa ladang berkenaan mempunyai 50,000 ekor ayam.
“Tindakan pemadaman menggunakan enam jentera telah dijalankan dan operasi terkawal kira-kira 12.46 pagi,” katanya. – BERNAMA