Simati berkerja sebagai seorang penyelia di kedai runcit.

KUALA LUMPUR – Lima warga Bangladesh termasuk dua wanita direman tujuh hari hingga 21 Februari ini bagi membantu siasatan berhubung kes tetak dan bunuh rakan senegara mereka di Seksyen 7 di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, bertindak atas maklumat kesemua individu berusia 33 hingga 53 tahun termasuk suspek utama ditahan pada 1.49 tengah hari semalam di hadapan sebuah kedai runcit di situ.

Beliau berkata, polis menerima maklumat kejadian itu pada jam 8.26 pagi daripada orang awam di hadapan kedai runcit itu.

Pihak polis dan ambulans dari Hospital Shah Alam segera dikejarkan ke tempat kejadian dan pemeriksaan pegawai perubatan ke atas seorang lelaki yang terbaring di hadapan kedai itu mendapati mangsa telah meninggal dunia dengan beberapa kesan kecederaan di bahagian kepala, badan serta tangan akibat serangan menggunakan objek tajam.

“Siasatan pihak Polis mendapati si mati merupakan seorang lelaki warganegara asing yang berumur 45 tahun.

“Simati berkerja sebagai seorang penyelia di kedai runcit tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam itu menambah, temu bual awal dengan beberapa orang saksi awam yang berada di tempat kejadian mengatakan mendengar pertengkaran mulut berlaku dalam kedai runcit tersebut antara si mati dengan seorang lelaki warganegara asing yang merupakan salah seorang pekerja si mati berkaitan isu kelewatan bayaran gaji.

Keadaan semakin tidak terkawal apabila berlaku pergelutan diantara mereka.

Si mati telah diserang menggunakan sebilah pisau pemotong daging dan ditetak berulang kali oleh pekerjanya tersebut sehingga jatuh terbaring di tempat kejadian.

Mohd Iqbal berkata hasil temu bual awal dengan beberapa saksi awam di tempat kejadian mendapati berlaku pertengkaran mulut antara si mati dan salah seorang pekerjanya di dalam kedai runcit itu, dipercayai berpunca daripada isu kelewatan bayaran gaji.

Beliau berkata semakan lanjut mendapati kesemua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau, manakala hasil ujian saringan awal air kencing mendapati mereka negatif dadah.

Menurutnya, kesemua suspek yang direman akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Individu yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah ASP Mohd Afandi Ahmad di talian 016-7252948. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here