CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) merakam keterangan lapan lagi individu kerana memuat naik kandungan bersifat palsu dan jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja kelmarin.
MCMC dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, kandungan itu didapati boleh menimbulkan kekeliruan dan kegusaran dalam kalangan masyarakat serta boleh membangkitkan kebencian dan persendaan kepada institusi diraja, khususnya terhadap Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.
Tambahnya, berdasarkan laporan dibuat, pasukat penyiasat MCMC membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Ujarnya, lapan individu terlibat telah dirakam keterangan di enam buah negeri iaitu Kuala Lumpur; Terengganu; Kedah; Kelantan; Perlis dan Pahang.
“Melalui operasi yang dijalankan, lapan unit telefon pintar dan lapan kad sim yang berkaitan dengan kes telah disita bagi membantu siasatan.
“Analisis forensik akan dijalankan ke atas peranti berkenaan untuk mendapatkan keterangan bagi membuktikan kes,” katanya.
Tambah kenyataan itu, siasatan di bawah Akta 588 (sebelum pindaan) itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.
“Orang ramai adalah diingatkan untuk mengamalkan sikap bertanggungjawab semasa memuat naik sebarang kandungan di media sosial dan perkhidmatan pesanan Internet dan tidak menggunakan perkhidmatan rangkaian dan aplikasi dalam talian untuk menyebarkan sebarang kandungan berunsur palsu dan kebencian, yang bertentangan dengan nilai dan norma budaya masyarakat majmuk di Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette