Mohideen Abdul Kader.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk menyekat penjualan alat nyah aktif penggera tali pinggang keledar (dummy buckle) di pasaran.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, ketiadaan undang-undang yang melarang penjualan produk itu menyebabkan ia kekal menjadi kebimbangan.

“Walaupun usaha kesedaran mengenai risiko dummy buckle itu dilakukan sejak tahun 2020, namun penjualannya masih berterusan.

“Penjualannya di pasaran perlu diharamkan termasuk pembelian secara dalam talian.

“Malah gesaan ini sudah beberapa kali dibangkitkan CAP namun tiada tindakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan trend pemilik kenderaan yang menggunakan alat itu sambil menambah bahawa pesalah sering memberi alasan tali pinggang keledar tidak selesa.

Beliau berkata, jumlah notis tertinggi yang dikeluarkan semasa operasi khas Tahun Baharu Cina adalah bagi kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar.

Lebih 30 peratus daripada 195 pesalah didapati menggunakan aksesori tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast