Bangunan Bursa Malaysia Berhad di Bukit Kewangan, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 08 APRIL 2024.

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka kekal dalam fasa penstabilan minggu depan berikutan ketidakpastian berhubung dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS).

Di tengah-tengah ketidaktentuan yang berterusan, naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng menjangkakan indeks utama berada dalam jajaran 1,580-1,600 pada minggu depan.

“Kami percaya sentimen berhati-hati berikutan ancaman perang tarif AS dan potensi kesannya terhadap pasaran, akan berterusan,” katanya kepada Bernama.

Ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata tekanan dagangan dijangka memuncak pada suku kedua tahun ini.

“Selain itu, kebimbangan terhadap inflasi boleh menjejaskan sentimen pelabur, yang seterusnya melambatkan lantunan pasaran yang lebih kukuh pada separuh kedua tahun ini.

“Ketika pelabur global mengharungi ketidaktentuan ini, pasaran Malaysia dijangka terus mencatatkan prestasi tidak menentu, dengan sentimen dipengaruhi oleh perkembangan luar,” katanya.

Di dalam negara, pasaran akan memantau rapat indeks harga pengguna (IHP) Malaysia yang dijadual dikeluarkan minggu depan, di samping pengumuman pendapatan antara lainnya oleh Hartalega, Kossan Rubber Industries, Genting Malaysia dan Sunway Construction.

Pada Khamis, Presiden Donald Trump mengarahkan Wakil Perdagangan dan Setiausaha Perdagangan AS untuk meneliti cadangan tarif timbal balik yang dijangka dilaksanakan pada April.

Pengumuman tarif timbal balik baru-baru ini telah memberikan sedikit kelegaan dan membantu Bursa Malaysia mengakhiri minggu ini dengan penurunan kecil.

Bagi minggu yang baru berakhir ini, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) diniagakan kebanyakannya rendah berikutan kebimbangan kesan dasar tarif AS terhadap ekonomi global, inflasi, rantaian bekalan dan rancangan pelaburan.

Pada asas Jumaat-ke-Jumaat, FBM KLCI mencatatkan kenaikan sederhana sebanyak 0.69 mata kepada 1,591.60 berbanding 1,590.91 pada minggu sebelumnya.

Indeks FBM Emas susut 42.92 mata kepada 12,106.61, Indeks FBMT 100 turun 26.11 mata kepada 11,813.95 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 138.13 mata kepada 11,847.51.

Indeks FBM ACE jatuh 125.57 mata kepada 5,134.78 dan Indeks FBM 70 susut 162.30 mata kepada 17,871.23.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 109.20 mata kepada 19,342.64 manakala Indeks Perladangan menokok 1.04 mata kepada 7,454.92.

Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 2.51 mata kepada 163.99, Indeks Tenaga turun 27.89 mata kepada 798.55, Indeks Penjagaan Kesihatan berkurangan 21.97 mata kepada 2,213.65 dan Indeks Teknologi jatuh 2.11 mata kepada 58.56.

Jumlah dagangan merosot kepada 11.99 bilion unit bernilai RM9.14 bilion daripada 13.05 bilion unit bernilai RM10.46 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 5.95 bilion unit bernilai RM7.98 bilion daripada 6.27 bilion unit bernilai RM9.04 bilion sebelumnya.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 3.95 bilion unit bernilai RM450.56 juta daripada 4.25 bilion unit bernilai RM452.29 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 2.08 bilion unit bernilai RM704.93 juta daripada 2.52 bilion unit bernilai RM968.79 juta. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here