KUALA LUMPUR – Seramai empat pasangan yang bukan suami isteri berusia lingkungan 20-an ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dalam Operasi Valentine yang dijalankan awal pagi tadi.
Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Lahad Datu, Mardi Ariffin berkata, operasi yang dijalankan di sekitar Lahad Datu, Sabah itu turut menemui kondom dan ubat kuat seks yang dipercayai digunakan oleh pasangan terbabit.
“Operasi yang bermula sekitar jam 9.30 malam hingga 3 pagi itu menyasarkan tempat penginapan atau hotel bajet yang dipercayai disewa pasangan untuk tujuan maksiat.
“Kesemua individu yang ditahan akan didakwa di bawah Seksyen 84 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Sabah kerana kesalahan khalwat, jika sabit kesalahan, kesemua mereka boleh dikenakan denda maksimum RM2,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Pasangan berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk tindakan lanjut.
Tambah Mardi, masyarakat khususnya umat Islam adalah diingatkan supaya tidak terjebak dalam perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam, lebih-lebih lagi perkara-perkara yang mendekati zina, sama ada di tempat tertutup mahupun tempat terbuka.
Terdahulu, seramai 12 anggota penguat kuasa JHEAINS dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menjalankan pemeriksaan di beberapa bilik di empat hotel bajet sekitar Lahad Datu. – MalaysiaGazette