Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pada gimik perasmian Majlis Pecah Tanah Projek Program Residensi Rakyat (PRR) Harmoni Madani Bestari Jaya, Tanjung Karang. Foto MUHAIMIN MARWAN, 15 FEBRUARI 2025

KUALA SELANGOR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan dua jawatan utama dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) sama ada dipertandingkan atau tidak akan ditentukan pucuk pimpinan tertinggi parti itu.

Anwar menjelaskan, sebagai Presiden PKR, beliau tidak mahu mencampuri urusan pemilihan parti melibatkan jawatan presiden dan timbalannya pada Mei ini.

Sebaliknya, beliau terbuka kerana mengamalkan amalan demokrasi bagi sesiapa yang mahu bertanding dalam PKR.

“Biar mereka putuskan, saya tidak campur. Biar demokrasi yang bertanding, tak bertanding parti putuskan,” katanya yang juga Perdana Menteri.

Beliau ditemui media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Program Residensi Rakyat (PRR) Harmoni MADANI Bestari Jaya di sini hari ini.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Pecah Tanah Projek Program Residensi Rakyat (PRR) Harmoni Madani Bestari Jaya, Tanjung Karang. Foto MUHAIMIN MARWAN, 15 FEBRUARI 2025

Awal bulan ini, media melaporkan Pengerusi Biro Antarabangsa PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin berkata, PKR berkemungkinan tidak akan mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden yang ketika ini disandang oleh Datuk Seri Rafizi Ramli.

Cadangan Shamsul Iskandar itu bagaimanapun mencetus polemik apabila terdapat suara akar umbi yang mahu dua jawatan tertinggi itu tetap dipertandingkan.

Malah pemimpin PKR yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mempersoalkan kewajaran dua jawatan tertinggi PKR kemungkinan tidak dicabar pada pemilihan parti itu manakala bekas Naib Presiden PKR, Mustaffa Kamil Ayub berkata, demokrasi dalam parti perlu dipertahankan.

Sementara itu, berdasarkan perlembagaan parti, penggal akan datang adalah yang terakhir untuk Anwar sekiranya memilih untuk mempertahankan jawatan tersebut.

Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh, sebelum ini dilaporkan berkata, PKR memutuskan pemilihan bagi jawatan MPP, Majlis Pimpinan Wanita Pusat dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat parti berkenaan, diadakan pada 24 Mei ini. – MalaysiaGazette

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Pecah Tanah Projek Program Residensi Rakyat (PRR) Harmoni Madani Bestari Jaya, Tanjung Karang. Foto MUHAIMIN MARWAN, 15 FEBRUARI 2025

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here