KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) buat julung kalinya telah mengadakan temu duga terbuka bagi jawatan Pengajar Gred U9 (Juruteknologi Pergigian) sempena “Karnival Kerjaya MYFutureJobs (MFJ) X Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) 2025” bertempat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) yang berlangsung hari ini hingga 16 Februari 2025.
Selain itu, 5,000 kekosongan di sektor swasta juga bakal ditawarkan dalam karnival anjuran bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan SPA ini yang bertujuan meningkatkan peluang pengisian pekerjaan ke perkhidmatan awam dan swasta.
Tawaran pelantikan bagi jawatan Pengajar Gred U9 (Juruteknologi Pergigian) yang dibuka untuk temu duga kali ini adalah tertakluk kepada calon yang memenuhi syarat yang telah ditetapkan dan berdasarkan permohonan pengisian kekosongan jawatan di
Kementerian Kesihatan Malaysia.
Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia, Datuk Seri Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus, temu duga SPA secara terbuka ini merupakan inisiatif yang julung kali diadakan bagi menunjukkan komitmen SPA dalam meningkatkan jumlah calon yang berkelayakan.
Ia juga bertujuan menarik minat calon-calon yang berpotensi untuk memohon jawatan yang ditawarkan.
Inisiatif ini merupakan langkah terkedepan SPA dalam menambah baik proses pengambilan yang lebih fleksibel dan memenuhi keperluan semasa perkhidmatan kritikal.
Untuk tujuan ini, SPA telah membuat persediaan rapi bagi memastikan pelaksanaannya adalah telus, teliti dan mengikut prosedur yang telah ditetapkan
Bukan itu sahaja, pengunjung “Karnival Kerjaya MFJ X SPA 2025” juga berpeluang menjalani Ujian Pemeriksaan Fizikal, Pancaindera dan Kecergasan (UFPK) secara terbuka yang merupakan langkah proaktif SPA dalam mendapatkan calon yang berkualiti.
Calon yang lulus UFPK, diberi tempoh sah laku keputusan selama enam bulan.
Sesi UFPK melibatkan Pemeriksaan Fizikal dan Pancaindera seperti Ujian Penglihatan, Ukuran Body Mass Index (BMI), Ujian Pengecaman Warna, Pemeriksaan Tubuh Badan dan Gaya Berjalan.
Manakala Ujian Kecergasan pula melibatkan aktiviti seperti Ujian Bangun Tubi 1 minit, Ujian Ketangkasan T, Lari Pecut 20 meter dan Lari Ulang-alik 20 meter (Bleep Test).
Karnival ini turut menyediakan perkhidmatan konsultasi SPA seperti khidmat nasihat berkaitan pengambilan ke perkhidmatan awam, kesesuaian jawatan yang dimohon serta semakan status permohonan dalam Sistem Pendaftaran Pekerjaan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA9).
Selain itu, turut diadakan sesi Taklimat Perkongsian Tips Menghadiri Temu Duga oleh Ahli Suruhanjaya, Taklimat Penilaian Memasuki Perkhidmatan Awam (PSEE) – Ujian Psikometrik dan taklimat kerjaya daripada pelbagai agensi swasta dan badan berkanun.
Selain itu, lebih 30 majikan sektor swasta dan badan berkanun seperti Habib Group, IHH Healthcare Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tan Chong Group, GHL System, Agro Bank, Prasarana Malaysia Berhad, Bank Islam serta AEON Co. (M) Berhad turut mengambil bahagian dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada pemohon pekerjaan dalam karnival kerjaya ini. – MalaysiaGazette