KUALA LUMPUR – Tiga lelaki diberkas kerana disyaki mencuri kayu bergergaji dari Hutan Simpan Pulau Timbun Mata, di Semporna, Sabah semalam.
Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Sabah dalam kenyataan berkata, tangkapan dibuat pada jam 1.30 pagi selepas menahan sebuah bot laju berwarna kelabu dan merah yang sedang menunda beberapa kayu bergergaji.
“Hasil pemeriksaan mendapati beberapa kayu bergergaji pelbagai ukuran jenis kayu Seraya dipercayai dicuri dari hutan simpan berkenaan.
“Juragan bot bersama dua anak perahu masing-masing berusia 22 tahun hingga 44 tahun telah ditahan serta barang dirampas dan dibawa ke Pangkalan PPM Semporna untuk tindakan selanjutnya,” jelasnya.
Menurut agensi itu, kesemua barangan rampasan dianggarkan berjumlah lebih RM25,000 telah diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Cawangan Semporna.
“PPM dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mengalu-alukan maklumat daripada orang awam dalam usaha membanteras kegiatan ini dari berleluasa,” ujarnya. – MalaysiaGazette