JOHOR BAHRU – Satu sindiket menyimpan dan memproses sisa buangan elektrik dan elektronik (e-waste) secara haram membabitkan nilai RM71.52 juta tumpas dalam serbuan di tiga kilang di Desa Cemerlang Ulu Tiram dan Plentong di sini kelmarin.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, sepasukan anggota dari unit Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua bersama-sama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor serta Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) melakukan operasi bersepadu itu bermula pada pukul 6.10 pagi.
“Dalam serbuan terbabit, sebanyak 1,369 guni seberat 2,379 tan pelbagai jenis logam seperti besi, timah, tembaga, komponen automotif, elektronik dan plastik dirampas.
“Turut dirampas, 47 jentera dan mesin pemprosesan pelbagi jenis, 28 pallet seberat 22.4 tan mengandungi muatan pelbagai jenis logam besi, timah, tembaga, komponen automotif, elektronik dan plastik dan 41 tan square tan dengan muatan komponen automotif dan serbuk besi.
“Selain itu, barangan lain yang dirampas ialah 55 tan longgokan besi dan komponen automotif, 10 tong gas, tiga telefon bimbit, dua tungku besi, satu ketuhar pembakar besi dan satu raga aluminium berisi komponen automotif seberat dua tan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kesemua barangan yang bernilai RM71.52 juta yang dirampas itu diserahkan JAS Johor untuk siasatan lanjut.
Tambahnya, dua lelaki warga asing dipercayai pekerja premis terbabit ditahan ketika serbuan dilakukan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (C) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 18 (1); 19 dan 34 (A)(6) Akta Kualiti Alam Sekeling 1974 serta Undang-undang kecil 3(1) dan 50(1) Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MBJB 2016,” katanya.- MalaysiaGazette