Hassan (tengah) dan Wee Tse (empat kiri) menggaul yee sang dalam Rumah Terbuka Parlimen Tebrau 2025 Bersama PKR Johor di Cathay Eco Spring, Tebrau, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Keterbukaan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak menghalang jawatan Presiden dan Timbalan Presiden PKR dipertandingkan pada pemilihan parti Mei ini adalah langkah yang demokratik dan positif.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, apa yang dilakukan Perdana Menteri itu menyuburkan amalan demokrasi dalam parti sekali gus memberi peluang kepada lebih satu juta ahli menentukan kepimpinan tertinggi parti tersebut.

“PKR adalah parti demokrasi dan bukan hari-hari kita adakan pemilihan tapi tiga tahun sekali. Ini amat positif dan memberikan gambaran yang baik kepada anak muda dan mereka akan berminat dengan PKR.

“Kita harap perkara ini (amalan seperti ini) akan diteruskan bukan sahaja dalam pemilihan kali ini tetapi juga pemilihan pada tahun-tahun akan datang,” katanya.

Bekas Pengerusi PKR Johor itu berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir dalam Rumah Terbuka Parlimen Tebrau 2025 Bersama PKR Johor di Cathay Eco Spring, Tebrau di sini hari ini.

Turut hadir Naib Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse merangkap Ahli Parlimen Tebrau, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Mohamad Taufiq Ismail dan Naib Ketua AMK Johor, Muhammad Faezuddin Mohd Puad.

Hassan berkata, dua jawatan tertinggi PKR itu perlu dipilih secara amalan biasa dan sesiapa pun dalam parti dibenarkan bertanding.

“Biarkan dua jawatan tersebut dipertandingkan, kalau siapa-siapa ahli parti nak lawan, lawanlah. Bagi mereka bertanding,” katanya lagi.

Semalam Anwar dilaporkan berkata, beliau menyerahkan kepada parti untuk memutuskan sama ada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden PKR perlu dipertandingkan atau tidak, pada pemilihan parti Mei ini.

Sebagai Presiden PKR, Anwar berkata, beliau menghormati demokrasi dalam parti dan tidak mahu mencampuri urusan berkenaan.

Terdahulu pada 2 Februari lalu, Hassan mempersoalkan kewajaran dua jawatan tertinggi PKR kemungkinan tidak dicabar pada pemilihan parti berkenaan.

Hassan berkata, PKR adalah parti yang demokratik, justeru biarlah proses menentukan dua jawatan tertinggi itu dicabar atau ditandingi berlaku secara semula jadi yang ditentukan ahli parti.

Cuma, katanya, persoalan timbul apabila jawatan Timbalan Presiden PKR yang disandang Datuk Seri Rafizi Ramli juga dicadangkan untuk tidak dicabar.

Beliau yakin PKR mempunyai ramai pemimpin kanan yang layak mencabar jawatan nombor dua parti.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast